November 17, 2024

Selebriti tempatan tidak ketinggalan terbabit secara langsung dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan enam negeri yang akan diadakan pada 12 Ogos ini.

Selain penyanyi rap, Altimet yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (Dun) Lembah Jaya, beberapa selebriti turut turun padang membantu kempen calon yang bertanding.

Pelakon Datin Anne Ngasri yang juga Exco Wanita Umno berkata, ‘mood’ kempen kini sudah bermula dan dia mewakili partinya di bawah Kerajaan Perpaduan akan membantu calon-calon wanita yang mewakili Umno.

“Saya ada hampir 10 calon yang perlu dibantu iaitu lima di Kedah, empat di Kelantan, seorang di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. Itu calon-calon yang pasti saya kena bantu mereka kempen.

“Cara macam mana saya bantu mereka ialah menerusi sesi ‘walkabout’ (pergi rumah ke rumah) untuk bertemu seberapa ramai yang boleh kalau saya ada masa.

“Selain itu, saya akan buat ‘live’ dengan calon untuk cerita mengenai kenapa kita perlu pilih Kerajaan Perpaduan yang ada.

“Itulah sedikit sebanyak gerak kerja yang saya akan lakukan. Saya akan bergerak ke luar kawasan secara ulang alik tanpa meninggalkan anak-anak terlalu lama,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Zed Zaidi berkata, dia akan berkempen untuk Selangor.

“Saya terbabit di bawah Parlimen Gombak yang ada tiga DUN iaitu Sungai Tua membabitkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari; Hulu Klang, Juwairiya Zulkifli dan Gombak Setia; Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

“Kalau bahagian lain di bawah Kerajaan Perpaduan panggil, saya akan bantu setakat termampu. Saya bertungkus lumus terutama untuk Hulu Klang kerana saya Ketua Cawangan Umno di situ.

“Saya nasihatkan rakyat Malaysia agar jaga tatasusila, sopan santun dan jangan provokasi menggunakan 3R (Agama, Kaum dan Raja),” katanya.

Sementara itu, pelakon, Datuk Seri Eizlan Yusof berkata, dia bergerak bersama Tan Sri Annuar Musa yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

“Kami dah bergerak ke semua negeri kecuali Pulau Pinang untuk kempen ceramah umum. Banyak lokasi sudah dijelajah seperti Senawang, Jempol, Baling, Merbok, Sik, Besut, Kuala Terengganu, Alor Setar dan Kota Bharu,

“Sekarang ini pusingan kempen di negeri. Esok lusa saya akan muktamadkan untuk fokus kempen pada calon mana,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu, Eizlan bertanding bagi kerusi Parlimen Sabak Bernam mewakili parti Pejuang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *