September 19, 2024

Oleh RAJMAH HASAN

SELAYANG – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.13 Kuang, Sallehudin Amiruddin membuat kejutan apabila tiba-tiba muncul di perkarangan Bangunan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pagi tadi.

Penyokong parti politik yang bertanding mahupun pihak media menyangka kehadiran beliau sekadar memberi sokongan kepada calon pilihan beliau.

Namun Sallehudin membuat kejutan apabila memasuki bangunan MPS. Beliau juga dilihat hadir ke pusat penamaan calon tanpa iringan kumpulan penyokongnya.

Persoalan terjawab apabila seorang pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Sallehudin memasuki bangunan MPS untuk menyerahkan kertas penamaan calon pada pukul 9.49 pagi.

Penyerahan kertas penamaan calon ditutup pukul 10 pagi.

Ini bermakna beliau sempat menyerahkan kertas penamaan calon yang berbaki 11 minit sebelum ditutup.

Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Selayang penggal 2023/26, Datuk Hasnal Rezua Habib Merican,53, yang mewakili BN memasuki pusat penamaan calon pada pukul 9.06 pagi.

Menyusul masuk menyerahkan kertas penamaan calon ialah Mohd Rafiq Mohd Abdullah yang mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada pukul 9.10 pagi.

Persoalannya, mengapa Sallehudin yang kini menyertai Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) membuat keputusan saat akhir itu, sedangkan beliau mungkin sedar untuk mengulangi kejayaan PRU 2018 amat tipis.

Adakah ia sekadar mahu memecah undi atau mahu membuktikan beliau masih mempunyai pengaruh kuat untuk menambat hati pengundi Kuang?

Untuk rekod, Sallehudin yang bertanding atas tiket Bersatu menang kerusi DUN N.13 Kuang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

Ketika itu, beliau adalah muka baru bertanding dalam pertandingan empat penjuru menentang penyandang, Datuk Abdul Shukor Idrus (BN), Mohd. Fauzan Madzlan (PAS) dan Mohd. Rafie Mohammad Arif (PRM) pada PRU 14.

Penyertaan saat akhir Sallehudin itu sekali gus menyaksikan pertandingan tiga penjuru bagi merebut kerusi DUN N.13 Kuang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 2023.

Pada pandangan penulis, Sallehudin yang bertanding atas tiket Bebas itu dilihat seolah-olah mahu memecah undi dua calon lain.

Namun menimbulkan persoalan, undi calon mana yang beliau mahu kacau itu?

Adakah undi Hasnal atau undi Mohd. Rafiq?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *