December 18, 2024

PRN Selangor kali ini bakal sengit. Pertembungan tiga penjuru di 19 DUN, satu lawan satu di 36 kerusi dan satu persaingan empat penjuru iaitu di DUN Sentosa melibatkan PH-PKR, PN/Gerakan serta calon daripada parti MUDA dan PRM.

Proses penamaan calon bagi PRN Selangor berlangsung di 35 pusat penamaan yang terdiri dari dewan serbaguna, kompleks sukan, stadium tertutup, pejabat majlis perbandaran dan dewan sekolah.

Seramai 138 individu berentap untuk merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Pakatan Harapan (PH), yang menerajui pentadbiran kerajaan negeri sejak 2008, menyenaraikan 44 calon iaitu PKR (20), DAP (15) dan Amanah (sembilan). Barisan Nasional (BN) yang membentuk kerjasama dengan PH, pula menamakan 12 calon sekali gus memberi lebih peluang kepada PH mengekalkan penguasaan khususnya di kawasan majoriti pengundi Melayu.

Perikatan Nasional (PN), yang terdiri daripada tiga Bersatu, PAS dan Gerakan, juga bertanding di semua kerusi DUN dengan 31 didominasi Bersatu manakala PAS dan Gerakan masing-masing 17 serta lapan kerusi.

Muda yang diterajui Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut mengumumkan 14 calon bagi membawa panji parti itu pada PRN kali ini.

Parti Sosialis Malaysia (PSM), yang bekerjasama dengan Muda bagi menghadapi PRN pada 12 Ogos ini, mengumumkan empat calon di kerusi Kota Damansara, Dengkil, Meru dan Kajang.

Parti Rakyat Malaysia (PRM) mengumumkan calon di lapan DUN dengan tumpuan kepada kerusi sekitar Klang antaranya Pelabuhan Klang, Selat Klang, Sentosa dan Pandamaran.

Antara kerusi yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru ialah Dusun Tua, Bukit Antarabangsa, Bandar Utama, Batu Tiga, Kota Anggerik, Sungai Kandis dan Dengkil.

Satu lawan satu, pertembungan menarik dijangka berlaku di kerusi DUN di Utara Selangor antaranya Sabak, Sungai Panjang, Hulu Bernam, Batang Kali dan Sungai Burong yang menyaksikan persaingan dua seteru politik utama negara sejak sekian lama iaitu BN/Umno dengan PN/PAS.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *