September 19, 2024

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N13 Kuang Datuk Hasnal Rezua Merican Merican Habib Merican menyifatkan gabungan pengalaman dalam gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH) akan berjaya membentu satu kerajaan negeri yang lebih kuat dan stabil untuk negeri Selangor.

Beliau yang ditemui di pusat penamaan calon di Bangunan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berkata beliau percaya pengundi di DUN Kuang dan negeri Selangor tidak mahu ketinggalan dalam arus pembangunan yang pesat di negeri Selangor dan parti tidak seharusnya terlepas pandang perkara itu.

“Momentum ini kita tidak mahu perlahankan dengan melantik wakil-wakil rakyat atau menegakkan kerajaan negeri yang lemah pentadbirannya seperti yang kita lihat di beberapa negeri yang mundur di Malaysia ini.

“Selangor ada negeri penyumbang KDNK tertinggi dan penyumbang ekonomi terbesar dalam Malaysia jadi kita mahu Selangor terus pesat dan saya percaya kerajaan yang boleh membawa pembangunan pesat adalah pengalaman selama 51 tahun Barisan Nasional dan 15 tahun Pakatan Harapan,” katanya.

Selain itu, Hasnal Rezua dalam tujuannya untuk bertanding bagi kerusi DUN Kuang ialah untuk membawa pembaharuan dan perubahan dari segi pembelaan rakyat yang lebih jitu.

“Dengan pengalaman kami sebagai peguam pembela rakyat, pejuang hak asasi, kami akan membela semua rakyat di Kuang agar mereka mendapat hak sepenuhnya dan kami akan memperjuangkan kebajikan yang jitu untuk semua yang termasuk kumpulan yang terpinggir dan tersisih, itulah misi kami” katanya.

Beliau hari ini tiba di MPS kira-kira pukul 8.40 pagi diiringi kira-kira 2,000 orang penyokong bersama BN dan PH bersama calon-calon untuk dua lagi DUN lain iaitu DUN Taman Templer dan DUN Rawang yang turut sama diadakan penamaan calon di tempat berkenaan.

Hasnal yang juga Ketua UMNO Bahagian Selayang menyerahkan borang pencalonan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada pukul 9.06 minit pagi seperti yang diumumkan oleh Pengawai Pengurus Pilihan Raya DUN N13 Azhar Samsuri.

Bagi pertandingan kerusi DUN Kuang, Hasnal akan berdepan dua lagi calon iaitu dari Perikatan Nasional (PN) Mohd Rafiq Mohd Abdullah dari parti Bersatu dan bekas ADUN Kuang iaitu Sallehudin Amiruddin yang merupakan penyandang kerusi itu sebelum ini.

Beliau bertanding sebagai calon bebas untuk PRN kali ini.

Hari mengundi bagi PRN kali ini untuk enam buat negeri iaitu Selangor, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Kedah dan Pulau Pinang ialah 12 Ogos nanti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *