December 18, 2024

OLEH RAJMAH HASAN

SELAYANG – Kandungan media sosial berkaitan 3R (royalti, agama dan kaum) jika dibiarkan atas nama demokrasi akan memusnahkan negara.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu ketara berlaku pada musim kempen pilihan raya lalu.

“Kita dapati pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), jumlah content bersifat perkauman atau adu domba yang dimuat naik dalam media sosial terlalu banyak hampir 100,000 kes.

“Itu yang dilaporkan oleh Centre for Independant Journalism,” katanya.

Fahmi berkata demikian ketika ditemui selepas penamaan calon DUN N.13 Kuang, N.14 Rawang dan N.15 Taman Templer di perkarangan bangunan Majlis Perbandaran Selayang pagi tadi.

Menurut Fahmi, perkara itu dikhuatiri berlanjutan dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 selama dua minggu ini.

“Lebih-lebih lagi, rakyat Malaysia bakal menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada Ogos dan September ini”.

“Ini antara sebab, saya adakan pertemuan dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) supaya adakan pemantauan jitu sepanjang tempoh PRN ini.

“Pihak berkuasa kini sangat bersedia untuk mengambil tindakan ke atas pihak yang salah guna media sosial, meletakkan kandungan bersifat 3R.

“Malah pengusaha atau platform media sosial juga telah mula memperketatkan garis panduan komuniti mereka untuk elak kandungan media sosial yang tidak patut dimuat naik disebarkan,” katanya.

Fahmi sebelum ini dilaporkan menekankan perlunya unit yang diselaraskan antara agensi penguatkuasaan undang-undang, termasuk SKMM, polis, dan penyedia platform media sosial untuk menangani isu 3R.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *