December 18, 2024
KAIN rentang yang menolak pencalonan Rafiq digantung di tepi jalan utama di Kuang.

Oleh ROHANA MAN

KUANG – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Selayang bergolak selepas parti itu mengenepikan anak tempatan untuk bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.13 Kuang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 2023.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mengumumkan calon N.13 Kuang mewakili Bersatu adalah Mohd Rafiq Mohd Abdullah.

Ini sekali gus mencetuskan perasaan tidak puas hati penduduk tempatan kerana calon yang dipilih bukan orang tempatan.

Rafiq berasal dari Paya Jaras, Sungai Buloh dan dianggap orang luar oleh penduduk Kuang.

Warga Kuang yang majoritinya kaum Melayu juga dikatakan tidak kenal Rafiq yang tiba-tiba muncul untuk menjadi wakil rakyat mereka.

Jumlah keseluruhan pengundi berdaftar di DUN Kuang adalah seramai 45,606 orang.

Daripada jumlah itu, seramai 35,021 adalah kaum Melayu, 4,514 (Cina), 3,815 (India) dan 2,256 (Lain-Lain).

Dalam pada itu, akar umbi mahu Ketua Bersatu Bahagian Selayang, Datuk Azman Yaakob menjadi calon DUN Kuang.

Malangnya, beliau tidak dicalonkan kerana didakwa memiliki rekod peribadi yang ‘tidak best’.

Rekod itu dikatakan terlalu umum dan rentetan daripada itu, akar umbi Bersatu dalam Parlimen Selayang mahukan penjelasan daripada pucuk pimpinan tertinggi parti tersebut.

Ketidakpuasan hati warga penduduk tempatan dapat dilihat daripada kehadiran kain rentang yang menolak pencalonan Rafiq digantung di beberapa jalan utama di Kuang.

Antara yang ditulis pada kain rentang itu adalah “Calon Perlu Berjiwa Kuang” dan “Tolak Calon Luar”.

Adakah pergolakan yang berlaku dalam kalangan akar umbi Bersatu Selayang bakal menjejaskan bilangan undi Rafiq pada 12 Ogos nanti. Kita tunggu dan lihat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *