MEMANG cantik Tasik Biru Kundang yang terletak di di Kampung Setia, Kundang, Selangor. Kejadian air berwarna biru tasik ini terhasil dari hamparan pasir putih yang dibiaskan oleh awan membiru. Mungkin ini punca lombong yang dahulunya air biru ditukar kepada Tasik Biru dan nama itu kekal hingga hari ini.
Tasik Biru yang terletak di Kampung Setia, Kundang, Selangor di bawah seliaan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mempunyai kisahnya tersendiri. Bekas lombong terbiar ini menjadi pusat rekreasi dan lokasi penggambaran drama atau filem tempatan mempunyai cerita tersendiri.
Menurut penduduk kampung, Tasik Biru diberi nama sempena airnya berwarna kebiruan dan fenomena air biru itu berlaku sekitar 1950 hingga 1965 sejurus kerja melombong diberhentikan oleh pelombong Cina.
Sebelum itu ia dinamakan lombong tembak sempena kerja melombong bijih timah menggunakan pancutan air kuat atau tembak bijih timah.
Apabila kerja melombong diberhentikan, air di tasik ini meningkat naik sedikit demi sedikit hingga hampir sampai ke tebing. Tiba-tiba terdapat sebuah pulau tidak mempunyai nama terletak di tepi lombong yang dipercayai terhasil dari timbunan batu kerja melombong bijih.
Kini tasik tersebut berwarna hijau kerana dasar lombong terbabit digenangi alga hijau yang menyebabkan air sekarang berwarna sedemikian.
Namun begitu, airnya tetap jernih dengan hamparan pasir putih dan tidak hairanlah ia menjadi pilihan pengunjung dalam dan luar kawasan ini sebagai pusat riadah keluarga, bermain jet ski atau memancing ketika hujung minggu atau hari biasa.
Tasik ini sudah mengorbankan 46 nyawa yang bermandi-manda atau melakukan aktiviti rekreasi di dalam tasik ini. Terbaharu pada tahun 2013, seorang pemain jet ski dilaporkan terbunuh selepas terbabit dalam kemalangan dalam tasik bekas lombong ini.
Oleh itu, muncul kisah misteri kononnya mereka pernah menemui ikan toman sebesar kanak-kanak berusia lima tahun. Ikan itu pernah mencederakan seorang remaja yang sedang mandi berhampiran pulau itu.
Penduduk juga mendakwa mereka pernah menemui wanita berambut panjang mengurai terbang melintasi tasik ini dan beberapa makhluk halus yang menyerupai binatang berlegar-legar di sekitar tasik ini ketika waktu Maghrib hingga ke tengah malam.
Kisah-kisah misteri tersebut tidak menghalang pengunjung dari terus beriadah dan melakukan aktiviti yang mereka suka di kawasan tersebut. Biarlah semua kisah tersebut terus menjadi misteri.