December 18, 2024

Seremban: DAP malam ini mengumumkan 11 calon termasuk seorang muka baharu yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bulan depan.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, ketika mengumumkan perkara itu, turut mengesahkan bahawa beliau akan mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah manakala calon muka baharu Desmond Sian Meow Kong bertanding di DUN Rahang.

Turut dicalonkan Teo Kok Seong (Bahau), J. Arul Kumar (Nilai), Chew Seh Yong (Lobak), Ng Chin Tsai (Temiang), Nicole Tan ( Bukit Kepayang), Yap Yew Weng (Mambau), P. Gunasegaran (Seremban Jaya ), Choo Ken Hwa (Lukut) dan S. Veerapan (Repah).

“Negeri Sembilan adalah negeri yang kita menang atas semangat Pakatan Harapan (PH) pada 2018. Saya anak Negeri Sembilan, membesar di negeri ini, politik bermula di sini, sudah tentu Negeri Sembilan dekat di hati saya.

“Kebanyakan 11 kerusi ini kita kekalkan 10 status quo cuma hanya satu kerusi di Rahang (calon baharu), kebanyakan calon DAP di Negeri Sembilan masih muda daripada usia 30-an hingga awal 60-an,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan calon pada Majlis Pengenalan Calon PH di sini malam ini.

Beliau berkata DAP hanya bertanding di empat negeri dan akan mengumumkan calon parti itu di Selangor esok diikuti Pulau Pinang serta Kedah, masing-masing pada Selasa ini.

“Malam ini ia bukan soal calon DAP, soal calon Amanah atau Keadilan tetapi hanya PH kerana kita mewakili PH, kita masuk bertanding dengan logo PH,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Barisan Nasional mengumumkan 17 calon yang akan bertanding di Negeri Sembilan diikuti pengumuman enam calon PKR oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Presiden PKR dan dua calon Amanah oleh Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu hari ini.

Loke berkata kesemua calon perlu mempertahan kerajaan negeri sekali gus mengekalkan Pengerusi PH Negeri Sembilan Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Amanah yang menyerahkan satu kerusi yang disandang parti itu kepada BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 iaitu DUN Lenggeng.

“Saya faham ada yang kecewa tapi kita sama-sama berkorban, bukan sahaja Amanah tetapi DAP juga ada hilang kerusi di Selangor, PKR juga ada serahkan kerusi kepada BN, begitu juga BN… jadi, kita sama-sama ada semangat pengorbanan.

“Kita menunjukkan komitmen semangat berpasukan… kita kena faham kita ada misi dan tugas besar iaitu pastikan kerajaan ini menang… kita pertahankan kerajaan negeri ini sekali gus boleh pertahankan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Berikut adalah senarai calon DAP di Negeri Sembilan: 

N01 Chennah – Anthony Loke 

N08 Bahau – Teo Kok Seong 

N10 Nilai J. Arul Kumar

N11 Lobak – Chew Seh Yong 

N12 Temiang – Ng Chin Tsai 

N21 Bukit Kepayang – Nicole Tan

N22 Rahang – Desmond Sian Meow Kong

N23 Mambau – Yap Yew Weng 

N24 Seremban Jaya – P. Gunasegaran

N30 Lukut – Choo Ken Hwa 

N36 Repah – S. Veerapan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *