KESEMPATAN untuk terbabit dalam filem ‘reboot’ bukan peluang yang akan datang berulang kali dalam kehidupan seseorang pelakon.
Bagi pelakon serba boleh, Nabila Huda, dia tidak menafikan keterujaannya apabila ditawarkan berlakon dalam filem ‘reboot’ berjudul Rahsia.
Versi asal Rahsia yang ditayangkan pada 1987 diarahkan Othman Hafsham yang menampilkan lakonan Allahyarham Shukery Hashim dan Noor Kumalasari.
Ia antara filem seram yang meninggalkan kesan buat penonton.
Kini, Rahsia kembali menghantui penonton dengan sentuhan segar dan lebih relevan dengan peredaran waktu di bawah arahan Shamyl Othman yang juga anak Hafsham.
Nabila selaku teraju utama filem ini berkongsi kisah permulaan dan keterujaannya saat beraksi di hadapan kamera untuk penggambaran filem itu.
“Saya pernah menonton filem Rahsia versi asal ketika saya masih kanak-kanak. Jadi, saya tak ingat sangat. Selepas dimaklumkan mengenai tawaran untuk berlakon dalam filem ‘reboot’ Rahsia ini pada 2020, saya tonton semula. Saya teliti dari awal sehingga akhir dan cuba memahami jalan ceritanya.
“Saya mengikut arahan yang diberikan Shamyl sebab dia lebih tahu mengenai filem ini dan apa yang dimahukan. Kemudian, saya akan tambah baik mengikut cara saya,” katanya.
Tidak menafikan kehebatan bintang utama filem asal iaitu Noor Kumalasari yang memegang watak Ramlah, Nabila berkata, dia menambah baik watak itu mengikut kesesuaian zaman.
“Saya tak berpeluang bertemu Noor Kumalasari. Pada masa sama, saya pun tidak meniru cara lakonannya.
“Pada saya, lakonan Noor Kumalasari ada keistimewaannya tersendiri. Masing-masing ada kelebihan. Mungkin cara lakonannya pada 1987 itu bersesuaian dengan era itu.
“Untuk Ramlah versi lakonan saya pula, lebih moden kerana disesuaikan dengan latar masa sekarang. Saya dah lakukan yang terbaik dan sudah berikan lebih 150 peratus tenaga yang saya mampu untuk menjayakan watak ini,” katanya.
Ditanya mengenai penjiwaan watak Ramlah yang dilakukannya, pemenang Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-28 itu mendedahkan ‘kegilaannya’ untuk menetap di banglo lama yang dijadikan set penggambaran.
“Saya berkampung selama 45 hari di Pulau Carey, Klang. Sepanjang berada di sana, saya tidak berbual dengan sesiapa. Tak ada masa yang gembira untuk saya.
“Saya hanya banyak habiskan waktu dengan duduk di hadapan cermin meja bersiap yang ada dalam bilik tempat saya menginap.
“Saya cuba kaji dan teliti dialog saya, hafal serta memahami watak Ramlah itu. Saya tak mahu keluar dari Ramlah yang penuh dengan tekanan dan emosi.
“Di sana, saya menginap di banglo kolonial yang dijadikan lokasi penggambaran. Banglo itu adalah banglo lama yang tidak berpenghuni. Tapi, saya minta untuk menetap di situ kerana nak menjiwai watak Ramlah dan jalan ceritanya,” katanya.
Tidak hanya itu, Nabila juga menghabiskan waktunya dengan mendengar lagu Alunan Lara nyanyian Najwa Mahiaddin yang menjadi lagu runut bunyi filem ini.
“Lagu Alunan Lara nyanyian Najwa itu saya dengari setiap hari sepanjang di sana. Tanpa keluarga, tanpa kucing kesayangan, saya fokus sepenuhnya kepada watak Ramlah,” katanya.
Ditanya sama ada penonton terimbau akan watak Maria yang dijayakannya dalam filem Munafik pada 2016, Nabila berkata, Ramlah adalah satu watak yang ada sedikit persamaan, namun masih berbeza.
“Kalau dibandingkan dengan watak Maria dalam Munafik, mungkin ada persamaan dari sudut perwatakan seorang individu yang dirasuk. Namun, ia berbeza.
“Watak saya dalam Rahsia ini lebih kepada kekeluargaan. Tumpuan utama adalah kepada keluarga kecil ini serta kehilangan anak mereka.
“Apa pun ini adalah antara filem terbaik yang pernah saya berlakon sepanjang hidup saya,” katanya.
Ditanya mengenai gangguan, Nabila bersyukur kerana semuanya berjalan lancar kecuali mengenai kemelesetan tenaganya akibat jadual penggambaran.
“Dari segi gangguan, memang tak ada. Cumanya, mungkin dari segi tenaga, ada satu ketika saya rasa sangat penat disebabkan jadual kerja yang habis lewat. Ditambah pula dengan permainan emosi saat menjayakan sesuatu babak, tentunya tenaga saya memang habis.
“Kalau gangguan perkara mistik pula, Alhamdulillah sepanjang saya berlakon dalam filem bergenre sebegini, tak pernah ada sebarang gangguan,” katanya.
Filem Rahsia membariskan barisan pelakon hebat selain Nabila, antaranya, Fikry Ibrahim, Eman Manan dan ramai lagi. Filem ini bakal ditayangkan di pawagam bermula 10 Ogos depan.