December 23, 2024

KUALA LUMPUR: Pelakon Uqasha Senrose menjelaskan babak-babak panas yang dilakonkannya dalam filem seram Sumpahan Jerunei sebelum dirinya mendirikan rumah tangga.

Menurut Uqasha atau nama sebenarnya, Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 31, berkata, dia berbuat demikian (babak berkemban) adalah bagi memenuhi tuntutan watak dalam filem yang menjalani penggambaran empat tahun lalu.

“Ketika itu, saya tak kahwin lagi. Saya pun masih ‘single’ lagi ketika itu. Tak ada komitmen dengan sesiapa pun.

“Saya mahu cabar diri untuk jayakan semua babak, tetapi ada batas. Sebenarnya babak itu bukan berkemban semata-mata, tetapi ada lagi seperti membabitkan kewujudan hantu. Namun, ia dipotong,” jelasnya ketika ditemui pada majlis sidang media & tayangan perdana filem Sumpahan Jerunei, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Uqasha turut menjelaskan adegan berpelukan bersama pelakon Amerul Affendi dalam filem arahan Jason Chong itu ketika dia dan suaminya kini, Kamal Adli, dalam fasa berkawan.

“Perkara tersebut tiada kena mengena dengan Kamal, kami masih dalam fasa berkawan ketika itu.

“Itu kerjaya masing-masing, tetapi bila dah kahwin pasti ada batas,” ujarnya.

Uqasha turut berkongsi bahawa dia juga melakukan rujukan dengan menonton beberapa filem seram, malah pengalamannya yang pernah melakonkan watak seram juga adalah bonus kepadanya.

Menampilkan barisan pelakon hebat seperti Bront Palarae, Uqasha Senrose, Amerul Affendi, Daiyan Trisha, Syafie Naswip, Tony Eusoff dan Ruminah Sidek, Sumpahan Jerunei bakal menemui penonton di pawagam 27 Julai ini. – XTRA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *