KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata terpulang kepada UMNO negeri masing-masing jika ada kemungkinan pertukaran calon bagi pilihan raya negeri (PRN) yang diumumkan malam ini.
“Wallahualam (muktamad atau ada pertukaran), tapi kadang kala dapat watikah, tukar juga (calon),” katanya ditemui selepas majlis pengumuman calon BN malam ini.
Beliau ditanya mengenai nama Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang disebut-sebut dicalonkan di Selangor pada PRN ini.
Mohamad berkata, ia terpulang kepada kepimpinan BN Selangor terhadap pemilihan calon itu kerana nama mereka dikemukakan parti di peringkat negeri.
“Itu terpulang pada negeri Selangor kerana nama calon dikemukakan oleh negeri masing-masing jadi terpulanglah kepada badan perhubungan masing-masing,” katanya.
Pada masa sama, Mohamad yang juga Menteri Pertahanan, berkata kepimpinan pusat menyaring dan melakukan perbincangan bagi memilih calon terbaik untuk mewakili parti yang diumumkan malam ini.
BN akan bertanding di 108 kerusi DUN di PRN enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Terengganu, Kedah dan Kelantan.