December 22, 2024

KOTA BHARU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Kubang Kerian membuat laporan polis susulan empat papan iklan (billboard) Malaysia Madani yang memaparkan gambar Perdana Menteri dikoyak, dipercayai didalangi pihak tidak bertanggungjawab.

Laporan polis itu dibuat Ketua PKR cabang berkenaan, Rahim Hasan di Balai Polis Kubang Kerian, malam tadi.Rahim berkata, beliau mendapati empat papan iklan Malaysia Madani yang dipasang dalam Parlimen Kubang Kerian terkoyak di bahagian wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Papan iklan berkenaan dipasang di empat lokasi iaitu persimpangan lampu isyarat New Horizon, Padang Enggang, Gong Dermin serta Pasir Hor.

“Saya menyedari kejadian itu jam 11 malam kelmarin ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Parit, di sini.

“Saya mengesyaki ada unsur khianat oleh pihak tidak bertanggungjawab dan memohon pihak polis mengambil tindakan sewajarnya berhubung kejadian itu,” katanya ketika dihubungi.

Media semalam melaporkan, polis Kelantan menerima dua laporan polis berhubung kejadian khianat terhadap kain rentang dan bendera parti sejak Sabtu lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata kejadian itu berlaku di Tumpat dan Kuala Krai.

Katanya, perbuatan khianat itu dilakukan dengan cara mencabut dan menjatuhkan bendera parti serta merosakkan kain rentang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *