JELEBU: Anak bekas Ahli Parlimen Jempol, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, Mohd Najib dan isteri Mohd Isa, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid disebut-sebut akan bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, bulan depan.
Mengikut senarai calon yang tular di media sosial, Mohd Najib akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang manakala Bibi Sharliza di DUN Juasseh.
Sebanyak 50 peratus dalam senarai sama adalah muka baharu sebagai calon di 17 kerusi DUN Negeri Sembilan, termasuk DUN Lenggeng yang menjadi perebutan di antara UMNO dan AMANAH.
Bagaimanapun, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, ketika diminta mengulas mengenainya meminta semua pihak bersabar sehingga senarai nama calon PRN diumumkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, malam ini.
“Kita tunggulah malam ini sama ada nama yang tular betul atau tidak. Selebihnya, saya tak tahu apa-apa,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, senarai nama calon bertanding yang tular adalah dianggap tidak betul sehingga pengumuman rasmi dibuat.
“Perkara seperti ini biasa berlaku setiap kali pilihan raya diadakan dan selagi ia belum diumumkan, ia dianggap tidak sahih,” katanya.
Mengikut senarai yang tular, Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu turut disenarai sebagai calon DUN Pertang manakala Ahli Parlimen Rembau yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dikatakan akan mempertahankan DUN Rantau.
Selain itu, Ketua UMNO Bahagian Port Dickson, Datuk Mohd Faizal Ramli di DUN Linggi dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Muhamad Zamri Omar di DUN Serting.
Bekas Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zaidy Abdul Khadir pula disenaraikan sebagai calon di DUN Jeram Padang dan Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban, Mohd Asna Amin di DUN Lenggeng.
Tiga lagi calon baharu iaitu bagi DUN Kota, Suhaimi Aini; DUN Seri Menanti, Sufian Md Razi dan DUN Gemencheh, Suhaimizan Bizar yang juga Setiausaha Pemuda UMNO Negeri Sembilan.