November 17, 2024

Kota Bharu: Seorang penduduk Kampung Pengkalan Datu, di sini, bingung memikirkan motif tindakan individu tertentu yang menyimbah cecair seakan cat di keretanya.

Simbahan cecair itu turut disertakan enam keping kertas yang tercatat tulisan tangan agar Che Mohd Intizan Kamarudin, 40, membayar hutang sedangkan dia mendakwa tidak berhutang dengan sesiapa.

Che Mohd Intizan berkata, kejadian disedari jam 9 malam kelmarin apabila dia keluar rumah untuk mengambil angin selepas selesai makan malam.

“Sebaik membuka pintu rumah, alangkah terkejutnya saya melihat Perodua Viva saya dipenuhi cecair berwarna merah jambu yang masih basah seolah-olah kejadian itu baru beberapa minit berlaku.

“Saya melihat sekitar rumah tapi tiada sesiapa dijumpai sebaliknya ternampak enam keping kertas bersaiz A4 yang dikeronyok dan tertulis arahan membayar hutang.

“Tanpa melengahkan masa, saya terus menghubungi pihak berkuasa kerana bimbang berlaku tindakan susulan meskipun masih bingung memikirkan motif kejadian itu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Che Mohd Intizan berkata, perbuatan itu biasanya dikaitkan dengan ceti haram tapi memberitahu dia tidak pernah berhutang dengan sesiapapun apatah lagi secara tidak berlesen seperti itu.

Dia yang juga kakitangan bahagian mekanikal di Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) juga mendakwa tiada musuh dan merasakan tindakan itu sekadar perbuatan khianat.

“Saya tidak takut dengan perbuatan itu sebaliknya terkilan kerana mungkin akan dianggap ia bermotifkan hutang sedangkan saya tidak pernah berhutang dengan sesiapa pun.

“Saya juga tidak mempunyai musuh malah suka berkawan dengan sesiapa saja dan sangat sukar memikirkan siapa atau apa motif kejadian ini.

“Ada juga terfikir sebab dendam dan bertanyakan semua ahli keluarga namun seingat kami memang tiada berdendam dengan sesiapa dan kami serah kepada pihak berkuasa untuk jalankan siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *