December 18, 2024

Batu Pahat: Siasatan kes tiga warga Myanmar yang ditemukan mati di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Yong Peng, malam tadi, setakat ini, diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk menunggu laporan bedah siasat.

“Setakat ini, polis buka kertas siasatan sebagai mati mengejut. Namun, semuanya bergantung kepada laporan bedah siasat.

“Siasatan awal mendapati, tiada sebarang unsur jenayah ditemukan pada ketiga-tiga mangsa,” katanya ketika dihubungi.

Shahrulanuar berkata, berdasarkan siasatan awal, pihaknya percaya kesemua mereka dalam perjalanan ke Pasir Gudang.

“Rekod diperolehi mendapati mereka mempunyai pasport dan bekerja di sana (Pasir Gudang),” katanya.

Dalam kejadian 8.30 malam itu, tiga termasuk seorang wanita Myanmar ditemukan tidak sedarkan diri di dalam MPV berkenaan di R&R Yong Peng arah Selatan.

Ketiga-tiga mereka ditemukan orang awam, dalam keadaan tidak sedarkan diri. Orang awam kemudian bertindak memecah cermin MPV itu.

Bagaimanapun, pasukan perubatan tiba di lokasi membuat pemeriksaan dan mendapati ketiga-tiganya sudah meninggal dunia.

Mayat kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini, untuk tindakan lanjut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *