December 20, 2024

Kulai: Seorang peniaga baju dalam talian dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan memiliki dua keping wang palsu RM100, awal bulan ini.

Bagaimanapun, Cheoh Chuan Wang, 24, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa memiliki dua keping wang kertas RM100 yang diketahuinya palsu dan dengan niat untuk menggunakannya sebagai tulen.

Bagi perbuatan yang didakwa dilakukan di sebuah stesen minyak di Batu 21 Kulai di sini, kira-kira jam 4 petang, 1 Julai lalu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum sepuluh tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Eddlyn Wong memaklumkan perbuatan tertuduh adalah di bawah kesalahan tidak boleh dijamin, namun mencadangkan jumlah jaminan yang tinggi iaitu RM15,000 sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara membenarkan ikat jamin.

“Tertuduh berisiko melarikan diri memandangkan terdapat seorang lagi suspek dalam kes ini yang masih bebas,” katanya.

Namun, peguam Omar Kutty Abdul Aziz yang mewakili tertuduh memohon ikat jamin dibenarkan dengan jumlah yang lebih rendah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *