December 18, 2024

Kota Bharu: Pentadbiran PAS di Kelantan kini bukan lagi sebagaimana pemerintahan pada zaman Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Terengganu dan Kelantan, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata pentadbiran kerajaan Kelantan kini hanya bersandarkan kepada aura Allahyarham Nik Abdul Aziz semata-mata.

“Kita dulu mungkin berbeza pendapat namun tetap ada rasa hormat terhadap pentadbiran Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz. Ketika itu ramai yang bukan muslim pun berkunjung ke Kelantan melihat pentadbiran Allahyarham.

“Namun Kelantan yang sekarang hanya mengharapkan aura dan mereka tidak menunjukkan contoh kepimpinan yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jelajah Madani di Dewan Undangan Negeri (Dun) Pasir Tumboh.

Turut hadir Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, kemarahan rakyat Kelantan terhadap kepimpinan PAS kini sudah cukup jelas.

“Justeru kita berharap pada PRN kali ini, penduduk di Kelantan memberi peluang kepada calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Sudah tiba masanya rakyat memberi peluang kepada PH dan BN kerana mereka dilihat sangat selesa di Kelantan dengan rekod pemerintahan selama 33 tahun,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *