September 20, 2024

Alor Setar: Bekas kapten skuad Liga Super Kedah, Baddrol Bakhtiar dijangka diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau yang kini beraksi sebagai kapten bersama pasukan Liga Super Sabah FC, dilaporkan bakal mengakhiri kariernya sebagai pemain bola sepak profesional bagi menyertai politik tanah air.

Berusia 35 tahun, Baddrol yang berasal dari Sungai Petani, dikatakan bakal membuat pengumuman mengenai masa depannya selepas perlawanan antara Sabah FC dan Sri Pahang yang berlangsung di Stadium Likas malam ini.

Desas desus mengenai hasrat Baddrol untuk terbabit dalam arena politik khususnya di Kedah dikatakan bermula beberapa bulan lalu, apabila beliau dilaporkan menjalin hubungan baik dengan pemimpin politik utama di negeri ini.

Difahamkan, keputusan untuk bersara daripada bola sepak dan diberi peluang untuk terbabit dalam politik di Kedah juga adalah dibuat atas cadangan pemimpin politik terbabit secara peribadi kepada Baddrol.

Sekiranya diletak sebagai calon PN pada PRN akan datang, beliau dijangka berhadapan lawan daripada bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Mohammed Firdaus Johari.

Mohammed Firdaus adalah anak kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul dan abang kepada Ahli Parlimen Sungai Petani, Mohammed Taufiq Johari.

Untuk rekod pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, DUN Gurun dimenangi Johari yang mewakili Pakatan Harapan (PH) selepas meraih 10,732 undi, namun beliau mengosongkan kerusi itu susulan dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat pada Disember lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *