December 18, 2024

Johor Bahru : Suspek yang melarikan diri selepas disyaki menikam seorang anggota polis dalam kejadian 10 Julai lalu, ditahan polis, kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek warga tempatan berusia 30-an itu ditahan kira-kira 1 tengah hari sekitar daerah ini.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif methamphetamine,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek kini direman tiga hari hingga esok.

Bagaimanapun, katanya, polis akan memohon untuk mendapatkan perintah sambung reman bagi membolehkan siasatan lebih lanjut dibuat ke atas suspek.

Pada 10 Julai lalu, seorang anggota polis berpangkat konstabel dilaporkan parah ditikam seorang individu yang ditahan dalam Op Tapis Khas Semalaysia di tempat letak kereta berbayar, Jalan Ungku Puan di sini, kira-kira jam 2.30 pagi.

Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, mangsa dalam keadaan baik dan stabil.

“Semalam saya melawat mangsa, Alhamdulillah, dia semakin beransur baik dan sudah keluar dari unit rawatan rapi (ICU),” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *