Alor Setar: Polis berjaya membongkar kegiatan pemerdagangan manusia serta kecurian unsur nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik, susulan tangkapan sembilan individu hujung bulan lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, kesemua mereka ditahan membabitkan empat lelaki warga Myanmar dan lima warga tempatan berusia antara 22 tahun hingga 60 tahun.
Beliau berkata, empat suspek tempatan termasuk seorang wanita itu ditahan pada 21 Jun lalu manakala seorang lagi ditahan pada 25 Jun lalu.
“Hasil tangkapan itu, polis berjaya menahan empat lelaki warga Myanmar serta merampas beberapa peralatan yang disyaki digunakan untuk REE secara manual.
“Turut dirampas, sejumlah empat guni setengah berisi bahan mineral yang diikat dan disyaki REE seberat 99 kilogram.
“Kejayaan tangkapan itu susulan laporan dibuat seorang pengurus sebuah syarikat yang dilantik untuk mengusahakan ladang hutan di Bukit Enggang, Sik, pada 31 Mei lalu.
“Laporan itu dibuat berikutan berlaku kecurian ke atas peralatan dan kelengkapan milik syarikat serta perbuatan khianat terhadap tanaman diusahakan di kawasan itu,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, tadi.
Beliau berkata, hasil siasatan terhadap laporan itu mendapati, semua peralatan didakwa dicuri atau hilang itu sebenarnya disita Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) dalam beberapa siri operasi dan serbuan.
“Ini termasuk operasi pemusnahan kawasan atas kesalahan menceroboh hutan simpan tanpa permit serta perlombongan REE secara haram pada Februari lalu.
“Susulan itu, polis turut merampas sebuah lori dengan muatan 185 guni disyaki mengandungi REE yang dipercayai dibawa keluar dari kawasan hutan simpan itu pada 26 September tahun lalu.
“Kesemua barang rampasan dihantar untuk dianalisa ke Makmal Geosains Ipoh di Perak bagi pengesahan kandungan,” katanya.
Fisol berkata, sehubungan itu Polis Kontinjen Kedah masih lagi berusaha mengesan seorang lagi lelaki warga tempatan berusia 46 tahun yang dikehendaki bagi membantu siasatan.