December 18, 2024

Seorang wanita yang juga peniaga air balang maut dipercayai ditikam bekas suaminya di Taman Desa, Pasir Tumboh, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, mangsa yang berusia lingkungan 30-an, maut di lokasi kejadian.

Bekas suami mangsa turut parah di perut dan dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, untuk rawatan lanjut.

Seorang saksi berusia 30-an yang enggan dikenali berkata, dia menyedari kejadian itu selepas dihubungi rakannya yang memaklumkan insiden berkenaan.

Katanya, dia bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati ambulans dan kereta polis sudah berada di hadapan rumah berkenaan.

“Saya terkejut dengan kejadian itu kerana mendapati seorang wanita maut dipercayai ditikam bekas suaminya. Lelaki itu parah. 

“Saya dan jiran lain tidak menyangka kerana kejadian ini menyebabkan mangsa meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, hari ini.

Difahamkan mangsa sudah berpisah dengan suaminya dan menyewa di rumah itu sejak beberapa bulan yang lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *