September 20, 2024

Dua disahkan maut, manakala lapan lagi dikhuatiri hilang selepas tragedi kepala air melanda kawasan perkelahan di Kampung Air Puteh, di sini, semalam.

Kejadian dikatakan berlaku susulan hujan lebat berterusan sejak petang semalam hingga awal pagi tadi, dengan semua mangsa dipercayai membabitkan sebuah keluarga.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, mengesahkan kejadian itu dengan dua mangsa yang disahkan maut itu membabitkan wanita berusia lingkungan 40-an serta lelaki dipercayai berusia lingkungan 20-an.

“Mayat pertama iaitu seorang wanita ditemui orang awam di sungai Kampung Pasir Gajah kira-kira 24 kilometer (km) dari lokasi keluarga itu berkelah, sebelum dimaklumkan kepada pihak polis.

“Mayat kedua pula membabitkan seorang lelaki ditemui tersangkut pada pokok kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian,” katanya mengesahkan semua mayat dihantar ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.

Hanyan berkata, sehingga kini, identiti kedua-dua mayat itu serta lapan lagi ahli keluarga yang dikhuatiri hilang belum diperoleh dan polis sedang mendapatkan maklumat untuk mengenal pasti mereka.

Bagaimanapun, katanya polis percaya kejadian kepala air itu membabitkan keluarga besar berdasarkan pakaian dan selipar yang ditemui di lokasi kejadian.

“Polis juga menemui sebuah kereta jenis Proton Gen2 dan sebuah motosikal jenis SYM di tempat kejadian dipercayai milik mangsa terbabit.

“Berdasarkan keadaan motosikal yang terbalik dan keadaan dalaman kereta yang basah kita percaya berlaku kejadian kepala air di situ,” katanya.

Sementara itu, beliau mengesahkan operasi mencari dan menyelamat lapan lagi mangsa yang disyaki masih hilang ditamatkan kira-kira jam 6 petang tadi berikutan cuaca buruk dan dijangka bersambung jam 9 pagi esok.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *