December 22, 2024

Rukun haji menghampiri ke fasa penghujungnya, jemaah Malaysia dan juga seluruh dunia sedang menumpukan perhatian kepada ibadat melontar di tiga jamrah.

Setiap tahun tidak dinafikan memang ada rungutan daripada jemaah haji dan ini termasuk dari jemaah dari Malaysia.

Suasana panas di dalam khemah akibat alat pendingin hawa rosak atau tidak berfungsi sepenuhnya, bersesak seolah saiz khemah yang disediakan tidak bersesuaian dengan jumlah jemaah haji yang berada di dalamnya dan terbaharu adalah masalah tilam yang dikatakan tidak mencukupi.

Pihak pengurusan Tabung Haji di Mekah telah membuat penjelasan tentang permasalahan yang ditimbulkan dan sentiasa peka dengan segala isu yang dibangkitkan oleh jemaah daei Malaysia demi kebajikan jemaah haji terjaga.

Pihak pengurusan Tabung Haji sentiasa memantau keadaan dan pergerakan jemaah haji malah terus mengatasi jika ada masalah yang berbangkit. Malah sebelum jemaah haji Malaysia berangkat ke Tanah Suci lagi, pihak Tabung Haji di dalam taklimat persediaan dan kursus haji yang dianjurkan telah menyatakan ujian yang bakal dihadapi di sepanjang ibadat haji terutama di Arafah dan Mina. Penerangan tersebut supaya jemaah haji Malaysia melakukan persediaan mental dan fizikal lebih awal dan tidak berlaku sebarang “culture shock”.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Syed Hamadah Syed Othman, berkata Tabung Haji juga mengambil beberapa inisiatif awal untuk menangani isu ruang sempit di khemah Mina yang diperkatakan segelintir pihak melalui portal dan media sosial.

Beliau turut menjelaskan, keadaan ruang sempit dalam khemah itu dihadapi jemaah Malaysia serta negara lain, lebih-lebih lagi dengan kuota penuh dan apabila ada kuota tambahan.

“Sempadan Arafah serta Mina adalah ditetapkan oleh hukum dan tidak berubah dari dahulu walaupun jemaah haji semakin meningkat setiap tahun seiring pertambahan rakyat di sesebuah negara.

“Masalah ruang sesak ini telah dihadapi jemaah dari semua negara sejak sekian lama dan ia bukan situasi baru timbul. Ruang serta saiz khemah Mina adalah di luar kawalan Tabung Haji kerana kemudahan di Arafah dan Mina disediakan oleh pihak berkuasa Arab Saudi untuk semua negara,” katanya pada sidang media, di sini, malam tadi.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman menjelaskan perihal ruang sempit di dalam khemah Mina itu sudah pun dimaklumkan kepada jemaah ketika kursus haji di tanah air dan taklimat masyair oleh pihak pengurusan maktab Tabung Haji, termasuk menekankan bahawa tidak dapat tidur secara terlentang di situ disebabkan keadaan berkenaan.

Berikutan kekangan itu, katanya, Tabung Haji sentiasa menasihati jemaah supaya hanya membawa satu beg beroda yang dibekalkan, bagi mengelakkan ruang terhad menjadi semakin sempit, namun hasil pemerhatian mendapati ada yang membawa lebih daripada satu beg ke khemah di Mina.

Beliau turut menjelaskan bahawa situasi ‘satu tilam satu jemaah’ hanya terpakai di khemah Arafah tetapi di Mina, tilam adalah sebagai alas dan bukan tanda ruang satu tilam untuk seorang jemaah.

“Perkara ini telah dijelaskan oleh pengurusan maktab Tabung Haji pada sesi taklimat masyair sebelum jemaah berangkat ke Arafah. Pengurusan maktab TH juga telah bersama jemaah di tempat khemah supaya bekerjasama dan bermuafakat untuk menyusun ruang yang ada mengikut alokasi nama jemaah dalam setiap khemah ditetapkan. Mereka juga membantu jemaah di khemah untuk menyusun kaedah terbaik memuatkan semua jemaah dalam setiap khemah.

“Antara inisiatif awal diambil ialah pihak pengurusan maktab memberi sebahagian ruang diperuntukkan bagi pejabat dan penginapan petugas Tabung Haji, termasuk ruang petugas muassasah, kepada jemaah haji bagi meningkatkan saiz ruang sedia ada.

Syed Saleh berkata, inisiatif jangka panjang menangani isu khemah jemaah membabitkan aspek infrastruktur dan perkhidmatan.

“Aspek berkaitan infrastruktur dan kemudahan banyak bergantung pada pihak berkuasa Arab Saudi. Mereka mempunyai perancangan dan program untuk memodenkan serta menambah kapasiti kemudahan selaras Wawasan 2030 yang menyasarkan lima juta umat Islam dapat menunaikan haji pada satu-satu musim.

“Dari aspek perkhidmatan pula, ia membabitkan pelbagai agensi, termasuk yang berkaitan dengan pengangkutan, makanan dan kesihatan. Mereka ujuga sudah tentu ada perancangan tertentu untuk jangka panjang.

“Kita akan memberi maklum balas kepada pihak berwajib untuk melihat beberapa isu yang kita hadapi sebagai negara yang datang menunaikan haji. Mereka harus melihat bagaimana untuk mengatasinya, bukan saja jangka panjang tetapi juga dalam jangka yang terdekat,” katanya.

Komen dari jemaah Malaysia:

“Saya menganggap segala apa yang saya lalui sepanjang saya di Tanah Suci termasuk di Arafah, Mina dan sebagainya adalah sebahagian dari ujian Allah” komen Haji Azizi jemaah daripada Kelantan. “Insya allah jika kita ada konsep penerimaan ujian maka Allah bagi ketahanan untuk menyerap tekanan ujian ini. Kecil saja ujian berbanding dengan orang dulu-dulu mengerjakan haji termasuk Nabi dan Sahabat” katanya lagi.

Seorang lagi jemaah, Haji Ahmad dari Bangi, Selangor berkata, “Pihak Tabung Haji telah melakukan yang terbaik dan tiada negara yang ada satu badan pengurusan haji seperti kita, selebihnya adalah tertakluk kepada pihak berkuasa negara Saudi dan kita dari zon selesa datang di zon yang mana jutaan manusia hadir untuk tujuan yang sama maka tentulah ada sedikit ketidak sempurnaan. Ujian ini kecil berbanding dengan jemaah dari negara lain yang hadap segalanya tanpa pihak pengurusan seperti Tabung Haji”.

“Memang ada masalah air di tandas dan lain-lainnya tetapi saya ucapkan terima kasih kepada pihak Tabung Haji kerana bertindak pantas menyelesaikannya di dalam waktu yang singkat dan adalah tidak bagus jika kita lakukan kritik yang melampau kerana anda boleh bertanya kepada setiap ahli keluarga anda yang pernah datang tunaikan haji apa yang Tabung Haji buat untuk jemaah negara kita” – Hajjah Mas Era dari Terengganu.

Pihak Tabung Haji sejak dari awal penubuhan dan pengoperasian di Tanah Suci sentiasa terbuka menerima sebarang kritikan dan cadangan penambaikan demi keselesaan jemaah Malaysia di dalam menunaikan ibadat haji ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *