December 22, 2024

Padah merosakkan patung serta kain rentang sebuah premis pakaian di sebuah pusat beli-belah terkemuka di sini, semalam, seorang wanita berstatus orang kurang upaya (OKU) ditahan. 

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, penahanan dilakukan selepas pihaknya menerima laporan daripada pembantu premis pakaian berkenaan pada 5.50 petang hari yang sama. 

Katanya, wanita berusia 26 tahun itu terdahulu dikatakan membuat bising di hadapan premis sebelum merosakkan patung. 

“Berdasarkan laporan, wanita berkenaan didakwa membuat bising di hadapan premis sebelum memukul dan menendang patung serta kain rentang menggunakan papan selaju (skateboard) di dalam premis.

“Susulan itu, polis menahan wanita berkenaan selain merampas papan selaju yang digunakan bagi merosakkan patung berkenaan,” katanya di sini, hari ini. 

Mengulas lanjut Kamarul Rizal berkata, ibu saudara wanita itu memaklumkan bahawa dia mempunyai masalah kesihatan selain OKU kategori terencat akal. 

“Wanita itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi mendapatkan rawatan dan pegawai perubatan mengesahkan dia mempunyai masalah psikiatri,” katanya. 

Terdahulu, rakaman video berdurasi 35 saat memaparkan insiden itu tular di media sosial.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *