December 18, 2024

“Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat”.

Beraninya Jebat: Satu Perubahan.

Bahagian pertama merupakan sedikit kupasan tentang bijaksananya Hang Tuah. Beliau diberi kepercayaan untuk menjadi wakil dan duta kerajaan kesultanan Melayu Melaka melalui perkenan Sultan.

Besarnya peranan dan amanah Tun Tuah ketika itu membawa nama baik Melaka berdaulat ke serata dunia. Pelbagai kejayaan yang beliau kecapi sebagai ‘Duta Khas’ Melaka malah kisah kejayaan paling epik adalah bagaimana beliau menjadi wakil khas kepada Maharaja India untuk bertemu Maharaja China. Misi kejayaan tersebut boleh disingkap melalui karya agung Hikayat Hang Tuah. Hebat bukan?

Kenapa slogan yang dibawa oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh turut mengaitkan sahabat karib Tun Tuah iaitu “Berani Laksana Jebat”?

Jawapannya mudah, di dalam sejarah peradaban Kerajaan Madani Melaka, lima bersaudara, Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekir dan Hang Lekiu tidak dapat dipisahkan. Mereka berlima ibarat tiang pengukuh antara satu sama lain yang mana Tuah dan Jebat adalah tiang utama di dalam sejarah pentadbiran Melaka yang bertamadun.

Jangan dilihat dari sisi ‘penderhakaan’ Jebat sehingga membawa peristiwa pertelingkahan berdarah antara dua sahabat karib tersebut. Perlu penafsiran yang cermat dan murni seperti mana ‘Peperangan Jamal’ antara dua sahabat Nabi saw, Ali r.a dengan Muawiyah r.a yang turut melibatkan isteri kesayangan baginda Rasulullah s.a.w iaitu Aisyah r.a.

Penafsiran terhadap peristiwa yang mengorbankan nyawa Jebat wajar diambil dari sudut bermulanya titik perubahan politik dalaman kerajaan ketika itu.

Muncul dinamika politik baharu sejak daripada peristiwa keberanian Jebat menentang politik menghasut, memfitnah dan adu domba. Timbul kesedaran perlunya husnuzon dan tabayyun, bersangka baik dan selidik terlebih dahulu sebelum bertindak. Berani mencari kebenaran sebelum membuat sesuatu sebarang keputusan.

Beraninya Jebat adalah perlambangan citra Melayu moden, berani berubah demi kemajuan bangsa, berani kepada perubahan paradigma, lebih relevan tanpa dibayangi oleh pemikiran konservatif.

Pentadbiran di Melaka selepas itu mula memasuki era dinamika atau lebih bertenaga, mampu membuat penyesuaian serta menerbitkan pembaharuan dan kemajuan di dalam pem­bangunan masyarakat.

Ini yang ingin dibawa oleh Datuk Seri Rauf dari hari pertama beliau memegang amanah sebagai ketua negeri. Malah Datuk Seri Rauf telah membuktikan dari awal lagi iaitu sebelum berjaya mendapat mandat yang begitu besar ketika pilihanraya negeri Melaka. Beliau dengan berani meletakkan lebih dari 70% calon dari UMNO-BN yang terdiri dari muka baharu.

Sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Rauf berani melakukan perubahan besar tersebut supaya apabila menang dan menjadi kerajaan negeri maka amanah dan mandat rakyat dapat di bawa melalui perubahan pentadbiran yang mengutamakan kemakmuran rakyat dari kepentingan peribadi. Walaupun mendapat tentangan dengan keputusan beraninya meletak muka baharu namun akhirnya terbukti kini setelah menjelang hampir 100 hari pentadbiran pimpinannya, Rauf berjaya merancakkan ekonomi negeri dan rakyat melalui siri delegasi beliau berjaya membawa pelabur luar memasuki Melaka dan penambahan jumlah pelaburan domestik ke negeri Melaka.

Tiada kejayaan tanpa usaha dan tiada perubahan tanpa keberanian.

Sejarah peradaban Melaka Madani menjadi bukti bahawa Tanah Melayu ketika era tersebut berada di puncak gemilang. Nama Melaka gah di seluruh dunia. Hasilnya banyak negara datang ke Melaka. Tun Tuah mencipta kejayaan di setiap misinya dan impaknya rakyat turut kecapi kemajuan dari limpahan ekonomi ketika itu. Semangat keberanian Jebat membawa perubahan menjadikan Melaka negeri yang awal menjalankan pentadbiran yang cekap tanpa krisis dengan jangka waktu yang lama.

Sejarah juga membuktikan, apabila lupusnya kebijakan dan keberanian mempertahankan yang hak maka bersedialah menghadapi musibah.

“Pahlawan Melayu bijak mengatur langkah,
Agar tak tersilap di kesani musuh,
Pantang pahlawan Melayu bermusuh,
Musuh dalam selimut itu yang susah”.

“Apabila laut dilanda ribut,
Ombak memecah angin gemuruh,
Apabila mulut tersalah sebut,
Banyak fitnah membawa gaduh”.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *