“Bijak laksana Tuah, Berani laksana Jebat”, itulah slogan yang sentiasa diungkapkan dari setiap bicara YAB Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh. Mesej yang disampaikan beliau amat jelas dan berfokus.
Fokusnya memusat kepada aspek pentadbiran dan halatuju negeri Melaka yang beliau ingin bawakan. Dua ikon sahabat karib ini, Tuah dan Jebat mempunyai lakaran peristiwa yang bersejarah bagi negeri Melaka dan sifat serta sikap keduanya mempunyai nilai keperibadian yang tersendiri sesuai untuk diterapkan sebagai haluan budaya jatidiri sama ada bagi pemimpin, pekerja dan rakyat di dalam norma hidup bermasyarakat.
Kisah panglima Melaka yang masyhur Hang Tuah dan Hang Jebat sudah mula memasuki era kupasan zaman dunia tanpa sempadan, berfikir di luar kotak yang akhirnya menampakan nilai murni kepada perjalanan hidup dua sahabat karib ini. Kisah ‘pertarungan’ mereka berdua bukan lagi episod bagi mengisi, mencanai pemikiran dunia akademik ataupun mencetus polemik yang tak sudah. Realitinya, adalah memugar nilai-nilai jatidiri Tuah-Jebat yang unggul untuk diterapkan ke dalam sanubari setiap individu.
Menurut Dato Seri Rauf, rakyat Melaka perlu melihat dengan lebih terbuka dan mencontohi sifat kedua pahlawan Melaka yang terbilang itu jika inginkan negeri tersebut maju dengan cepat dan rakyat mendapat manfaat terbaik malah akan memperlihatkan hasil sebuah pentadbiran yang cekap, cermat, bersih dan bijaksana.
Siapa Hang Tuah sebenarnya selain apa yang digambarkan selama ini sebagai seorang pahlawan terbilang dan ketua pasukan keselamatan negeri Melaka dan yang menjadi individu kepercayaan Sultan Melaka ketika itu.
Menurut pakar sejarah, kerana kebijakan Hang Tuah maka pihak kerajaan Melaka menaruh kepercayaan dengan menjadikannya sebagai “Duta” yang berurusan dengan negara luar seperti Tanah Jawa, Jepun, India, Mesir, Arab Saudi, China dan banyak lagi. Paling luar biasa, Tuah pernah menjadi utusan rentas benua iaitu mendapat kepercayaan kerajaan India. Beliau menjadi utusan negara tersebut di dalam kunjungan khas ke negara China. Hebat, umpama Setiausaha Agong Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang menjalankan tanggungjawab menyelesaikan konflik antara negara.
Tugas Tuah ke negara luar mewakili kerajaan Melaka juga bukan sebagai ketua angkatan perang umpama sang penakluk tetapi sebagai ‘Duta’ yang membawa nama istana dan tentunya nama Melaka itu sendiri.
Terfikirkah kita bagaimana Tuah berurusan dengan pelbagai negara terutamanya perantara bahasa yang dipakainya?
Terfikirkah kita apa mesej yang dibawa oleh Tuah kepada negara yang dilawatinya dan apa manfaat yang rakyat serta Melaka terima pada ketika itu?
Terfikirkah kita betapa hebatnya Sultan Melaka menghantar wakilnya ke serata dunia seorang Laksamana yang bijaksana dalam setiap perundingannya.
Kini sebagai Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Rauf ingin supaya negeri Melaka bangkit seperti era ketamadunan awalnya, Melaka lebih awal tertegak sebagai sebuah Kerajaan Madani. Pelbagai negara dan bangsa datang ke Melaka untuk berurus niaga, pertukaran teknologi dan pelbagai urusan lain yang kesannya adalah manfaat kemakmuran untuk rakyat dan negeri itu sendiri.
Datuk Seri Ab Rauf telah mengorak langkah menjadikan “Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat” sebagai garis asas dan titik fokus kepimpinannya. Beliau mula menerapkan slogan ini kepada anggota pentadbirannya dan juga kepada seluruh rakyat Melaka.
“Pasang Surut Pantai Pun Kering,
Senang Orang Berjalan Kaki,
Orang Patut Pandai Berunding,
Sengketa Hilang Amanlah Negeri”
Bersambung, “Beraninya Jebat: Satu Perubahan”