September 20, 2024

TikTok, rangkaian sosial paling pesat berkembang, mendedahkan lebih 80 peratus pengguna dan pencipta di rantau Asia Tenggara (SEA) meningkatkan pendapatan mereka melalui platform tersebut menerusi pelbagai video pendek sepanjang tahun lalu.

Laporan Kesan TikTok bertajuk ‘Mempercepatkan Perniagaan, Pendidikan dan Komuniti Asia Tenggara’, memaklumkan bahawa pengguna rangkaian itu memperkasakan pendapatan masing-masing menerusi pelbagai kaedah seperti TikTok Live atau bekerjasama dengan pelbagai jenama dan perkongsian.

“Perniagaan kecil dan sederhana berjaya meningkatkan pendapatan jualan produk hampir 50 peratus selepas menggunakan TikTok melalui promosi produk dan tawaran perkhidmatan masing-masing

“Pada masa yang sama, empat daripada lima perniagaan (79 peratus pengguna SEA) beralih daripada pemasaran luar talian kepada pemasaran dalam talian menggunakan platform ini,” menurut laporan yang dilancarkan semasa Forum Impak TikTok di Asia Tenggara, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TikTok, Shou Zi Chew, dalam ucapan perasmian forum itu, berkata bahawa platform itu telah diguna pakai oleh lebih 325 juta pengguna dari rantau Asia Tenggara setiap bulan dan 15 juta perniagaan menggunakan platform itu.

Katanya, disebabkan impak tersebut, pemilik Tiktok, ByteDance, akan melabur hampir US$12.2 juta (RM56.4 juta) untuk menyokong dan membantu usahawan TikTok serta menubuhkan komuniti.

“Pelaburan itu akan menyokong lebih 120,000 unit perniagaan kecil dan sederhana dan usahawan untuk tiga tahun akan datang dalam mengalihkan perniagaan mereka dalam talian dan mengambil bahagian dalam ekonomi digital,” katanya.

Beliau berkata bahawa pelaburan itu juga bertujuan untuk membina dan menyokong komuniti, termasuk membangunkan Program Pembangunan Perusahaan Sosial Yayasan ASEAN.

TikTok, yang dilancarkan pada September 2016, menjadi nama popular semasa pandemik COVID-19.

Pada 2022, TikTok Shop berkembang ke enam negara Asia Tenggara iaitu Singapura, Malaysia, Indonesia, Filipina, Vietnam dan Thailand. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *