Foto ‘golden halo’ atau lingkaran emas menyerupai ‘sigah’ atau tanjak bagi etnik Kadazandusun dan Murut yang mengelilingi satu daripada puncak di Gunung Kinabalu menjadi tular di media sosial sejak semalam.
Lingkaran itu yang terhasil daripada biasan cahaya matahari dirakam seorang malim gunung yang kebetulan berada di kawasan puncak Gunung Kinabalu ketika fenomena itu berlaku pada kira-kira jam 6 pagi kelmarin.
Daverond Dolius, 23, menyaksikan fenomena yang berlaku ketika matahari terbit itu dan merakamnya sebelum memuat naik di laman Facebook yang kemudian menarik perhatian netizen.
Beliau mengesahkan gambar berkenaan adalah asli dan bukan diedit berikutan bentuk dan warnanya yang unik, lebih-lebih lagi dilihat mengelilingi satu daripada puncak yang ada di Gunung Kinabalu.
Katanya, fenomena itu dirakam berdekatan kawasan Gurkha Hut, iaitu antara puncak dan laluan untuk latihan pendakian altitud tinggi bagi pendaki berpengalaman yang mahu menawan gunung lebih tinggi daripada Kinabalu.
“Ia adalah kejadian yang betul dan saya ada videonya. Saya merakam gambar itu dari Puncak Low (Low’s Peak) ketika matahari terbit pada kira-kira jam 6 pagi.
“Ketika itu ada kira-kira 100 pendaki. Pendaki yang saya iring juga mengambil gambar fenomena berkenaan,” katanya.
Sehingga hari ini, perkongsiannya di laman Facebook dikongsi lebih 400 kali selain menerima pelbagai maklum balas yang kebanyakannya menyatakan ketakjuban terhadap fenomena itu yang disifatkan amat jarang dapat dilihat.
Selain disamakan dengan imej ‘sigah’, ada netizen turut menyamakannya dengan imej naga emas, rantai leher dan corak pada leher beruang matahari.