November 16, 2024

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang membidas ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang menentang untuk membahaskan Laporan Ketua Audit Negara 2021 di Dewan Rakyat petang semalam.

Dalam satu kenyataan hari ini, Lim berkata tindakan mereka adalah tidak bertanggungjawab dan cubaan untuk menjejaskan proses parlimen.

“Dalam setengah abad kerjaya saya berada di Parlimen, saya akan amat gembira sekiranya kerajaan bersetuju untuk mengadakan perbahasan Laporan Ketua Audit Negara di Parlimen.

“Namun, pihak pembangkang Perikatan Nasional (PN) telah menjunamkan Parlimen ke dalam kekecohan selama lebih dari satu jam dengan tentangan mereka terhadap usul untuk membahaskan Laporan Ketua Audit Negara 2021 dan kemudiannya lebih buruk lagi, memboikot perbahasan yang berlangsung.

“Ahli-ahli Parlimen PN telah bertindak dengan cara yang amat tidak bertanggungjawab sejak selepas Pilihan Raya Umum ke-15, bukan sahaja dengan mencabar titah Yang di Pertuan Agong untuk bertindak demi kepentingan negara untuk menjamin kestabilan politik dan memastikan terdapatnya perpaduan nasional dalam sebuah Malaysia yang majmuk.

“(Tetapi), kini mereka juga merendah-rendahkan peranan penting parlimen untuk menjadi semak imbang terhadap pembaziran dan salah guna kuasa oleh pihak eksekutif,” kata Lim.

Sasarannya adalah ahli parlimen Masjid Tanah dari Bersatu, Mas Ermieyati Samsudin, yang menurutnya gagal menunaikan tanggung jawabnya sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) apabila dia membantah perbahasan daripada diadakan.

“Sedangkan dia (Mas Ermieyati ) sepatutnya terus berada di dalam Dewan Rakyat semasa perbahasan ini berlangsung untuk mendengar apakah yang diperkatakan oleh ahli-ahli Parlimen mengenai Laporan Ketua Audit Negara ini untuk dijadikan panduan kepada PAC.

“Lebih ideal sekiranya terdapat peraturan supaya Laporan Ketua Audit Negara ini mesti dibahaskan, dirujuk kepada PAC, dan kemudiannya disyaratkan supaya laporan PAC pula dibahaskan,” kata Lim. 

Dewan Rakyat tengah hari semalam bertukar menjadi kecoh apabila ahli parlimen pembangkang membantah usul kerajaan untuk membahaskan Laporan Ketua Audit Negara 2021.

Ahli parlimen kerajaan kedengaran berkata “takut-takut!” apabila ahli parlimen PN berdiri menyokong ketua whip mereka Takiyuddin Hassan, yang pertama kali membangkitkan bantahan tersebut.

Takiyuddin mempersoalkan usul itu, dan mendakwa ia bertentangan dengan Perkara 107 Perlembagaan Persekutuan, serta tidak pernah dilakukan di parlimen.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *