November 17, 2024

Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 15 tahun oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian kekasih isterinya, lima tahun lalu.

Hakim Suria Kumar Durairaj menjatuhkan hukuman itu ke atas Ahmad Ad Darrabi Sadiman, 39, melalui pertuduhan pilihan iaitu menyebabkan kematian tanpa niat terhadap Muhammad Mudrikah Lizan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh yang bekerja sendiri menjalani hukuman bermula dari tarikh tangkap iaitu 28 Oktober 2018.

Suria Kumar dalam penghakiman ringkas berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira hujahan kedua-dua belah pihak.

“Hukuman ini (penjara 15 tahun) disebabkan kesalahan akibat kemarahan tertuduh yang membawa kepada tindakannya itu (membunuh),” katanya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama tiga lagi rakan (yang dibicarakan mengikut seksyen berlainan) didakwa menyebabkan kematian Muhammad Mudrikah di perkarangan Taman Rekreasi Sungai Senggarang, Batu Pahat antara jam 6.40 petang hingga 8.50 malam, pada 23 Oktober 2018.

Tertuduh ketika itu bersama-sama Muhammad Fadhli Benu, 34, Rizaki Riduan, 43 dan Mohd Fairuz Zakaria, 40, didakwa memukul mangsa kerana didakwa bermain cinta dengan isterinya.

Mangsa pada mulanya cedera parah dan tidak sedarkan diri sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Namun, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia pada jam 5.15 petang keesokan harinya.

Hasil siasatan polis mendapati mangsa dipercayai dilarikan dan dipukul selepas tertuduh tidak berpuas hati terhadap mangsa yang dikatakan menjalin hubungan sulit dengan isterinya.

Tindakan itu susulan tertuduh menemui beberapa gambar intim antara mangsa dengan isterinya selain mesej lucah dalam telefon bimbit lelaki itu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.

Melalui pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304 (a) kanun sama, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan juga denda.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Putera Amirool Faez Suhasi manakala tertuduh diwakili Safiah Abdul Aziz.

Terdahulu, Safiah memberitahu mahkamah bahawa si mati menjadi punca kepada peristiwa yang menyebabkan anak guamnya mengambil tindakan itu.

“Dalam kes ini, anak guam saya tidak berniat melakukan perbuatan itu hingga menyebabkan kematian. Jadi saya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman paling minimum kerana mengambil kira tempoh penjara yang dikenakan sementara menunggu hari penghakiman,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *