December 18, 2024

Ahmad Maslan meminta polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyiasat penularan poster disifatkan melampau kerana menggelarnya sebagai “kafir”, selain wajahnya diubah seakan “khinzir”.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno berkata, tindakan memanipulasi dan memuat naik gambar seperti itu “sangat melampau”, susulan kenyataannya sebelum ini yang meminta penyokong Umno mengundi DAP atas dasar dalam kerajaan perpaduan.

Katanya, beberapa pihak termasuk Pemuda Umno sudah membuat laporan polis di Sabah dan Pontian, Johor.

“Saya sebenarnya banyak kali dikecam sebelum ini di media sosial, tetapi tak pernah saya membuat laporan polis dan saya juga pada kali ini tidak meminta sesiapa membuat laporan (polis).

“Bagaimanapun, atas kehendak mereka (individu membuat laporan polis) sendiri, mereka membuat laporan kerana terlampau sangat yang dilakukan mengubah muka saya (kepada) ‘khinzir’ dan menulis perkataan ‘kafir’ di atas wajah itu.

“(Perlakuan itu) hanya kerana saya membuat satu kenyataan hasil daripada pertanyaan pihak media pada Jumaat lepas,” katanya pada sidang media di Parlimen, menurut Astro Awani.

Beliau yang juga timbalan menteri kewangan berkata, tindakan dilakukan pihak berkenaan juga melambangkan kerendahan ilmu mereka.

“Saya pernah maklumkan bahawa PAS pernah bersama DAP ketika gabungan Pakatan Rakyat sebelum ini. Bersatu juga pernah bersama DAP, dan presiden PAS (Abdul Hadi Awang) pernah menyebut undi calon DAP.

“Presiden Bersatu (Muhyiddin Yassin) juga meminta undi calon DAP, tetapi kami tidak pernah mengkafirkan mereka,” katanya.

Beliau berkata, isu menyokong DAP tiada kaitan dengan akidah kerana DAP menandatangani Deklarasi Malaysia pada 2019, memperakui empat perkara iaitu Islam, Melayu, raja, dan bahasa.

“Sekali lagi apa yang saya sebut sebelum ini saya kata, bukan atas nama DAP, tetapi atas nama kerajaan perpaduan kita saling bantu-membantu antara satu sama lain,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *