December 18, 2024

Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang dilihat sebagai kontroversi dan didakwa berunsur perkauman, perlu diteliti sebaik mungkin agar tidak disalah fahami, menurut Timbalan Pengerusi PN Ahmad Faizal Azumu.

Mempertahankan rakan seperjuangannya dalam PN, Ahmad Faizal berkata apa yang disuarakan Abdul Hadi – termasuk berkenaan DAP – lahir daripada pengalamannya dan berasas.

“Apa perkara yang disebut oleh Haji Hadi terhadap DAP datang daripada pengalamannya sendiri yang pernah bekerjasama dengan DAP. Saya juga pernah bekerjasama dengan parti itu.

“Setiap orang ada pandangan masing-masing dan pandangan itu datang daripada pengalamannya sendiri,” katanya semasa wawancara bersama Malaysiakini pada Isnin lalu.

Timbalan presiden Bersatu itu diminta memberi pandangan berkenaan kenyataan-kenyataan Abdul Hadi yang dilihat menyerang DAP dan orang bukan Melayu.

Antaranya ahli parlimen Marang itu dilaporkan berkata golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera merupakan golongan yang paling besar merosakkan politik dan ekonomi negara dan mendakwa DAP bersikap anti-Islam, serta meletakkan calon-calon Melayu yang berfahaman “liberal, sekular, oportunis dan jahil agama” dalam pilihan raya.

Faizal juga ditunjukkan laporan khusus bertajuk Hadi goes ballistic again, claims DAP targeting ignorant Muslims yang mendapat reaksinya spontannya dengan perkataan “wow”!.

“Perkara itu tak boleh diterima, (tapi) tentunya dia ada asas mengapa dia sebut perkara-perkara itu dan saya sendiri pula nak menyatakan adakala memang DAP seolah-olah terlalu menjuarai masalah ataupun isu sesuatu kaum sahaja.

“Saya tak layak beri nasihat kepada Haji Hadi kerana dia seasoned politician (ahli politik berpengalaman), dia ada banyak ilmu.

“Saya nobody, tapi saya fikir apabila orang berpengalaman seperti dia keluarkan kenyataan, kita perlu fikirkannya dengan teliti.

“Begitu juga kalau negarawan seperti Tun Mahathir (Mohamad), pemimpin lama seperti (pemimpin veteran DAP) Lim Kit Siang…Apabila mereka keluar kenyataan, anda perlu betul-betul baca apa yang ingin disampaikan kerana mereka orang lama,” katanya lagi.

Pada masa sama Ahmad Faizal berkata sebarang kenyataan yang ingin dikeluarkan sebaiknya mengambil kira sensitiviti, terutama apabila ia melibatkan isu kaum dan agama.

Dia mengakui ada masyarakat bukan Melayu yang tidak senang dengan kenyataan sedemikian dan ia antara perkara yang perlu diperbaiki PN.

“Lebih banyak engagement perlu dibuat…Untuk memahamkan orang ramai tentang apa yang kita mampu lakukan kepada mereka, dan bagaimana kita boleh bekerjasama sebagai bangsa Malaysia untuk membangunkan negara tanpa usik sensitiviti kaum yang berbeza,” katanya.

Orang bukan Melayu percaya DAP, bukannya PH

Menyentuh isu PRN yang bakal diadakan, Ahmad Faizal yakin PN mampu menawan undi golongan Melayu dan pada masa sama sokongan orang bukan Melayu terhadap PH akan berkurangan.

Baginya, orang bukan Melayu sebelum ini mengundi PH kerana sokongan mereka terhadap DAP, bukannya PH secara keseluruhannya.

“Orang bukan Melayu terutama sekali masyarakat Cina amat percaya dengan DAP, bukannya PH… ketika saya dalam PH, ada juga orang Cina tak suka dengan Amanah dan orang PKR tak suka juga dengan DAP, tapi mereka bekerjasama.

“Jadi itu yang berlaku dari dulu hingga sekarang,” katanya yang mendakwa keadaan PH pada masa ini seperti retak menanti belah.

Di saat semakin ramai orang Melayu menyokong PN, katanya lagi, orang bukan Melayu juga perlu mengambil langkah yang sama sebagai mesej kepada kerajaan persekutuan untuk memberi tumpuan kepada kepentingan rakyat.

Bersatu bukan ‘watak sampingan’

Ditanya mengenai peranan Gerakan dalam PN, Ahmad Faizal berkata parti yang berusia lebih lima dekad itu memerlukan masa untuk membina semula naratif mereka.

Katanya, ia boleh dicapai dengan parti itu terus memperjuangkan isu seperti kos sara hidup, pendidikan dan peluang pekerjaan yang menurutnya amat dekat dengan kaum tersebut.

Bagaimanapun Ahmad Faizal tidak menjelaskan secara khusus apabila ditanya tentang tempoh yang perlu diberikan kepada Gerakan untuk mencapai objektif itu.

Ahmad Faizal juga tidak setuju berhubung tanggapan Bersatu menjadi “second fiddle” (watak sampingan) dalam PN, di saat Abdul Hadi dilihat mendominasi PN ekoran giat mengeluarkan kenyataan dan pandangan.

“Saya tidak bersetuju. PAS masih menghormati Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku pengerusi PN.

Sebelum kami buat keputusan, kami selalu mendapatkan nasihat dan pandangan daripada Majlis Tertinggi PN terutama sekali Muhyiddin selaku pengerusi,” katanya.

Katanya lagi, PAS dilihat lebih ke hadapan kerana memimpin tiga kerajaan negeri, iaitu Kedah, Terengganu dan Kelantan, dan maka memiliki akses lebih besar kepada media dan orang ramai.

Dia juga menekankan pemimpin kanan Bersatu, seperti setiausaha agung Hamzah Zainudin, ketua penerangan Razali Idris dan naib presiden Radzi Jidin turut aktif mengutarakan pandangan berkenaan isu semasa di media.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *