December 18, 2024

Bersatu tidak hipokrit kerana bekerjasama dengan DAP pada PRU 2018, kerana ia perlu dilakukan demi “menyelamatkan negara”, kata Ahmad Faizal Azumu.

“Keputusan berkenaan dibuat ianya untuk mengurangkan mudarat lebih besar terhadap negara, makanya memerlukan mereka bekerjasama.

“Itulah yang juga dibuat oleh Bersatu pada awal penubuhan, dengan bekerjasama dengan DAP, Amanah, dan juga PKR untuk menjatuhkan kerajaan Najib Razak,” katanya dalam temubual FMT.

Timbalan presiden Bersatu itu berkata kepimpinan Umno membuat pusingan U daripada ketetapan “No Anwar, No DAP” yang dibuat pada perhimpunan agung parti itu, apabila bekerjasama dengan DAP dalam kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.

Faizal percaya pusingan U itu mengguris hati pengundi Melayu, kerana mereka menganggap Umno wadah perjuangan bangsa.

“Ramai juga yang mengharapkan ada perubahan dalam pemilihan parti nanti ini tidak berlaku. Saya fikir hari ini Umno menjadi parti yang didominasi oleh satu dua pemimpin yang akan menentukan hala tuju Umno.”

Bersatu yang ditubuhkan pada 2016 dan menyertai Pakatan Harapan beberapa bulan selepas penubuhan. Langkahnya keluar gabungan dikatakan faktor penting di sebalik kejatuhan kerajaan Dr Mahathir Mohamad.

Jangan gaduh isu Sukan SEA

Sementara itu, Faizal menyeru semua pihak jangan bergaduh tentang prestasi kontinjen Malaysia di Sukan SEA baru-baru ini, kerana gagal mencapai sasaran 40 pingat emas.

Mengakui bahawa ia isu yang amat “menggusarkan”, bekas menteri belia dan sukan ini mengingatkan bahawa masalah itu bukan sewaktu Hannah Yeoh menggalas portfolio itu.

“Sewaktu saya, waktu Reezal Merican Naina Merican, waktu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dan waktu Khairy Jamaluddin. Masalah ini selalu kedengaran.”

Beliau menambah Hannah masih baharu menggalas jawatan itu dan tentunya masih banyak yang beliau perlu fahami dan lakukan.

“Demi cinta kepada sukan, untuk kita kibar Jalur Gemilang di persada dunia, saya fikir, jangan lah bergaduh,” katanya.

“Kita perlu beri sokongan kepada persatuan-persatuan sukan, pastikan mereka dapat berfungsi dengan baik. Pastikan Hannah dengan Majlis Sukan Negara dapat jalankan tanggungjawab dengan lebih baik.”

Yeoh berkata ketidakstabilan politik sebelum ini telah menjejaskan perancangan, peruntukan, dan persiapan untuk Sukan SEA.

Malaysia berada di tangga ketujuh daripada 11 negara peserta, menutup temasya di Phnom Penh dengan 34 emas, 45 perak, dan 96 gangsa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *