September 19, 2024

KINI rakyat Malaysia semakin gusar dengan keputusan-keputusan mahkamah yang dilihat tidak mencerminkan keadilan dan pematuhan Perlembagaan Negara. Isu Kalimah Allah sedang hangat diperkatakan. Semua pihak mempertikaikan kredibiliti Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.

Oleh itu, rakyat mengungkit mengenai pelantikan Maimun yang dikatakan tidak mematuhi Akta JAC 2009.

Perkara tersebut bermula dengan pendedahan mengejutkan dalam memoir Thomas ‘My Story: Justice in the Wilderness’. Dapatan laporan berkenaan menyimpulkan bahawa Mahathir dan Thomas melanggar Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 apabila memutuskan siapa yang akan memegang empat jawatan tertinggi dalam kehakiman.

Memetik sumber, mengikut undang-undang, tugas pemilihan itu terletak pada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, bukannya perdana menteri apatah lagi peguam negara. Laporan itu memetik kenyataan Thomas dalam buku berkenaan bahawa beliau dan Mahathir telah “bersetuju” pada Jun 2018 mengenai pelantikan Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara; Ahmad Maarop (Presiden Mahkamah Rayuan); Zaharah Ibrahim (Hakim Besar Malaya); dan Wong Dak Wah (Hakim Besar Sabah dan Sarawak).

Sebaliknya, suruhanjaya pelantikan mencalonkan hakim berlainan untuk tiga daripada empat jawatan berkenaan, iaitu Azahar Mohamed (Ketua Hakim Negara); Rohana Yusof (Presiden Mahkamah Rayuan); dan Abdul Rahman Sebli (Hakim Besar Sabah dan Sarawak).

Mahathir dan Thomas melanggar undang-undang dengan tidak menghiraukan sama sekali calon yang disyorkan oleh JAC pada 2018. Seminggu selepas pelantikan hakim-hakim seperti dicadangkan Mahathir dan Thomas, hakim perbicaraan kes SRC Najib Razak ditukar kepada Nazlan Ghazali, yang tiada pengalaman mengendalikan kes jenayah.

Pada 2019, suruhanjaya pelantikan mencadangkan pelantikan Ahmad Maarop (Ketua Hakim Negara); Wong (Presiden Mahkamah Rayuan); Tengku Maimun Tuan Mat (Hakim Besar Malaya); dan Abang Iskandar Abang Hashim (Hakim Besar Sabah dan Sarawak).

Sebaliknya Mahathir, yang bertindak atas nasihat Thomas, mencadangkan Tengku Maimun sebagai Ketua Hakim Negara; Rohana Yusuf (Presiden Mahkamah Rayuan); Abang Iskandar (Hakim Besar Malaya); dan Wong (Hakim Besar Sabah dan Sarawak).

Tengku Maimun dicadangkan sebagai Ketua Hakim Negara sedangkan beliau baru dilantik ke Mahkamah Persekutuan pada November tahun sebelumnya, melangkau Ahmad Maarop dan Azhar, yang masing-masing dinaikkan pangkat pada 2011 dan 2014.

Maimun tidak dicadang oleh JAC untuk jawatan Ketua Hakim Negara. Memetik sumber,sejak pelantikan yang melanggar Akta JAC 2009 itu, banyak keputusan-keputusan mahkamah yang kurang disenangi ramai telah dikeluarkan.

1. Antaranya ialah kontroversi hari ini iaitu isu Kalimah Allah di mana mahkamah telah memutuskan pada bulan Mac 2021 bahawa larangan KDN bagi penggunaan empat perkataan eksklusif untuk umat Islam iaitu Allah, Baitullah, Kaabah dan Solat adalah suatu kesilapan menjadikan perintah larangan tersebut sebagai tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Akibatnya, isu Kalimah Allah tercetus kembali.

2. Mahkamah Persekutan diketuai Maimun memutuskan pada Februari 2021 bahawa peruntukan undang-undang syariah Selangor yang menetapkan seks luar tabii sebagai jenayah, adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan.

3. Mahkamah Persekutan diketuai Maimun memutuskan pada Mac 2022 bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tidak mempunyai kuasa untuk membuat enakmen yang membenarkan Mahkamah Syariah Negeri mendengar semakan kehakiman berhubung keputusan oleh pihak berkuasa agama negeri.

4. Kes LTTE Mahkamah Tinggi bawah Nazlan memutuskan pada Nov 2019 bahawa Seksyen 13 Sosma, yang melarang mahkamah daripada memberikan ikat jamin dalam kes-kes kesalahan keselamatan, melanggar doktrin pemisahan kuasa antara badan kehakiman, badan perundangan dan eksekutif.

Hakim Nazlan juga memutuskan bahawa peruntukan undang-undang itu adalah melanggar perlembagaan kerana menafikan hak mahkamah untuk memberikan atau menolak ikat jamin.

5. Mahkamah Persekutuan pada 14 April 2022 lalu mengisytiharkan klausa yang terdapat dalam peruntukan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) yang mengecualikan kuasa hakim daripada meneliti alasan penahanan seseorang tahanan, sebagai tidak sah dan telah perintahkan bahawa kerajaan bebaskan seorang suspek yang terbabit dalam aktiviti jenayah dari penahanan POCA.

6. Mahkamah Persekutuan diketuai Maimun memutuskan dalam kes Maria Chin Abdullah pada Jan 2021 bahawa kerajaan tidak ada kuasa untuk menyenaraihitamkan pemegang pasport atau sekat mana-mana individu dari keluar negara.

7. Mahkamah Persekutan diketuai Maimun memutuskan pada Feb 2023 bahawa badan penguatkuasa dan Peguam Negara perlu mendapat kebenaran dari Ketua Hakim Negara sebelum mula menyiasat atau mendakwa mana-mana hakim termasuk Ketua Hakim Negara tersendiri.
Kesemua keputusan-keputusan ini telah menghakis kuasa negeri, kuasa mahkamah syariah dan kuasa eksekutif kerajaan – sekaligus semakin meletakkan mahkamah sebagai kuasa paling besar negara.

Pelantikan Maimun sebagai Ketua Hakim Negara mengundang bala besar pada Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *