November 17, 2024

Selepas mengakui sedang hangat menjalin hubungan cinta dengan seorang lelaki berstatus doktor, pelakon Sophia Albarakbah kini lebih terbuka mendedahkan teman lelakinya di khalayak ramai.

Malah, aktres sensasi itu dilihat lebih selesa membawa insan tersayang yang dikenali sebagai Mr. Doktor untuk mengiringinya ke pelbagai acara hiburan.

“Sebenarnya saya serahkan kepada teman lelaki sama ada mahu menemani saya atau tidak. Nampaknya dia okay sahaja.

“Tapi jika dia tidak selesa, saya enggan memaksa. Memang saya biarkan dia membuat keputusan sendiri,” katanya.

Meskipun teman lelakinya bukan dalam kalangan selebriti, Sophia yang juga dikenali dengan nama Sophia Koshka menyifatkan lelaki itu sebagai individu yang tenang berdepan dengan kontroversi.

Ujar pelakon berusia 29 tahun itu, kisah panas yang mengheret namanya dengan aktor Aliff Aziz sedikit masa lalu tidak membuatkan kekasihnya hilang kepercayaan terhadapnya.

“Sepanjang kontroversi terbabit diperkatakan, teman lelaki saya kekal bertenang dan mendengar penjelasan sebenar daripada pihak saya.

“Perkara tersebut tidak mengganggunya kerana dia lebih memikirkan soal pesakitnya daripada perkara lain,” ujarnya ketika ditemui di majlis pelancaran Anugerah Bintang Popular (ABPBH) ke-35, baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, aktres jelita itu tidak menyangka tercalon dalam beberapa kategori antaranya Pelakon Filem Popular, Aktres TV Popular, Couple Drama Popular dan BBNU Wanita Popular.

“Alhamdulillah saya sangat gembira dan tidak menyangka dapat tercalon dalam empat kategori memandangkan ini kali kedua saya terlibat dalam ABPBH.

“Saya tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang. Cuma saya target untuk memenangi kategori BBNU Wanita Popular atau Aktres TV Popular,” jelasnya.

Sebelum ini, dia pernah menjadi bahan kecaman ramai apabila didakwa menyimpan perasaan terhadap aktor gandingannya dalam drama Ku Akad Kau Dengan Bismillah, Aliff Aziz.

Perkara tersebut mencetuskan kemarahan isteri Aliff iaitu Bella Astillah sehingga mendedahkan tangkap layar perbualan WhatsApp bersama Sophia dalam media sosial. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *