December 18, 2024

Seorang pekerja pembersihan dihukum penjara lapan tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di Tawau hari ini, selepas mengaku bersalah merogol remaja 13 tahun sehingga melahirkan bayi lelaki, November lalu.

Menurut sumber, tertuduh, Muhammad Ali, 47, dijatuhkan hukuman itu oleh Hakim Rosli Ahmad selepas membuat pengakuan itu mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia yang juga pemegang pasport warga Indonesia didakwa merogol mangsa berusia 13 tahun ketika kejadian di sebuah rumah pekerja ladang kelapa sawit di Semporna, 4 petang, 2 April tahun lalu.

Mengikut fakta kes, tertuduh disyaki merogol mangsa yang ketika itu sedang tidur bersendirian di rumahnya.

Tertuduh bagaimanapun ditangkap pada 21 November lalu selepas mangsa mengadu sakit perut sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Tawau.

Hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengandung 38 minggu dan selamat melahirkan bayi lelaki sebelum mendedahkan dia telah dirogol oleh tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhaimi Suriana mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam hujahnya, Suhaimi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh mengambil kira faktor kepentingan awam selain kesan trauma dialami mangsa selepas dirogol.

Katanya, mangsa yang masih bersekolah sepatutnya menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak perempuan lain namun terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ibu dalam usia yang sangat muda.

“Laporan daripada Jabatan Kimia juga mengesahkan tertuduh adalah bapa kandung bayi terbabit.

“Pendakwaan juga mengambil kira faktor tertuduh dalam kes ini adalah warga asing yang masuk ke negara ini sewajarnya dijatuhi hukuman berat selain perlu diusir pulang ke negara asal,” tegasnya.

Hakim kemudiannya menjatuhkan hukuman itu dan mengarahkan ia bermula dari tarikh tangkapan selain diusir pulang ke negara asal sebaik selesai menjalani hukuman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *