December 18, 2024

Walaupun Amrin Gupili, 36, sentiasa sibuk dengan kerjayanya sebagai Pembantu Penguatkuasa di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), namun dia sukar melupakan beberapa peristiwa aneh dan misteri yang dialaminya semasa mendaki Gunung Kinabalu pada tahun 2007.

Pemuda kelahiran Ranau, itu berkata semasa melakukan pendakian itu beliau merupakan salah seorang malim gunung yang ditugaskan untuk mengiringi beberapa orang pelancong warga Cina dari Kuala Lumpur.

Amrin berkata ekspedisi ke puncak gunung tertinggi di Malaysia itu mengambil masa enam hari melalui laluan Koutal-North Peak-Laban Rata. (Koutal Route-North Peak-Laban Rata).

“Pada malam pertama, iaitu sekitar waktu Maghrib, saya dan beberapa rakan lain terkejut apabila sosok seorang tua tidak dikenali yang tiba-tiba muncul di hadapan khemah kami.

“Orang tua misteri itu seolah-olah hendak menjenguk dan memantau kami. Saya ingatkan saya mungkin bermimpi, rupa-rupanya rakan-rakan saya yang lain juga mengakui melihat orang tidak dikenali itu.

“Pada hari kedua, rombongan kami mengalami satu kejadian aneh selepas saya secara tidak sengaja membuang sisa tulang ikan masin ke dalam unggun api.

“Tidak lama kemudian, seluruh kawasan sekitar perkhemahan dilanda angin kuat dan disusuli hujan secara tiba-tiba. Salah seorang rakan menyedari seperti ada sesuatu yang tidak kena.

“Apabila saya memberitahunya tentang hal ikan masin itu, dia segera mengambil satu makanan dalam tin lalu pergi ke kawasan semak berhampiran. Selepas itu keadaan kembali tenang semula,” kata Amrin.

Pada hari ketiga pula, iaitu sebelum tiba di kem Leletingan, Amrin dan beberapa rakan setugas tiba-tiba perasan ada ‘angin pelik’ seperti satu gerombolan ghaib yang bergerak dan menyusuri kawasan laluan denai.

“Keadaan bertambah kalut apabila Puan Rossiti Karim, iaitu peserta dari Taman Taman Sabah dan peserta tunggal wanita dalam ekspedisi itu, tiba-tiba menyuruh kami supaya segera memindahkan semua beg yang menghalang laluan.

“Kami menurut sahaja arahan Rossiti tanpa bersoal jawap, kerana sebagai orang lama di Taman Taman Sabah (Sabah Parks) kami percaya beliau mempunyai naluri kuat berkenaan perkara-perkara sebegini.

“Sejurus kemudian, kami mendengar suara perbualan manusia yang agak jelas dari arah sebuah anak sungai di hadapan kami, iaitu sebelum kem Leletingan. Kami sangat pasti suara-suara itu bukan kumpulan pelancong yang kami iringi kerana kami tahu mereka masih jauh di belakang kami.

“Kami cuba tanya Rossiti tetapi dia hanya mendiamkan diri dan kami segera faham mengapa dia mengarahkan kami mengalihkan barang-barang daripada laluan sebentar tadi,” katanya kepada Bernama.

Menurut Amrin, kejadian seterusnya berlaku pada waktu pagi semasa di perkhemahan Mokodou (Mokodou campsite), iaitu pada hari keempat ekspedisi Koutal Route-North Peak-Laban Rata.

Dalam kejadian itu, Amrin dan rakan-rakannya didatangi salah seorang pelancong, lalu memberitahu mereka bahawa dia begitu teruja mendengar suara nyanyian merdu dan bunyi petikan gitar pada tengah malam sebelumnya.

“Setahu kami, semua peserta tidur seawal jam 9 malam akibat kepenatan. Kami terpaksa mengiyakan kata-kata pelancong itu kerana tidak mahu dia rasa takut, tetapi bulu roma saya meremang.”

Selain itu, Amrin juga pernah terserempak dengan makhluk yang menyerupai seorang pelancong Orang Putih di Kilometer 4, Simpang Mesilau Trail-Timpohon Summit Trail.

Amrin bertugas di JPJ Sabah sejak Jun 2011, tetapi masih lagi sanggup melakukan kerja sebagai malim gunung secara sambilan jika ada permintaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *