December 18, 2024

Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Kedah akan menggunakan logo parti masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ia merupakan pendirian kedua-dua parti.

Bagaimanapun katanya, pimpinan tertinggi di peringkat pusat masih belum memberi sebarang makluman berhubung perkara itu.

“Soal logo (pusat) tak beri makluman, setakat ini PH guna lambang PH dan BN guna lambang BN,” katanya selepas Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Ahad.

Sinar Harian pada 10 Mei melaporkan, BN sedang mempertimbang untuk membenarkan rakan sekutu parti itu menggunakan logo dacing sempena PRN yang akan datang.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mendedahkan ada rakan sekutunya berhasrat menggunakan lambang BN di negeri tertentu untuk mendapatkan sedikit kelebihan ketika PRN.

Selain itu, menjawab persoalan pemimpin akan diketengahkan sebagai ‘poster boy’ oleh gabungan itu di Kedah, Mahdzir berkata, perkara itu belum diputuskan pimpinan pusat.

“Poster boy akan ada, cuma ia akan diputuskan pusat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *