December 18, 2024

Setelah beberapa kali didakwa menjadi mangsa liwat dan dera, akhirnya enam pelajar pusat tahfiz di negeri ini nekad membongkarkan perbuatan keji yang dilakukan pengasas tahfiz dan penderaan oleh warden asrama itu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, mangsa berusia antara 13 hingga 15 tahun, mendedahkan perkara itu setelah keenam-enam mereka tampil membuat laporan polis di Balai Polis Batang Tiga di sini, pada Khamis.

Menurut beliau, susulan itu, pemilik pusat bimbingan tahfiz berusia 40 tahun dan adik lelakinya yang merupakan warden asrama terbabit berusia 36 tahun ditahan di pusat tahfiz pada jam 1 petang Jumaat.

Jelas beliau, mangsa yang didera memaklumkan ini bukan kejadian pertama kali berlaku dan kali terakhir dilaporkan pada 7 Mei lalu, yang mana punca didera kerana lambat menyiapkan tugasan yang diarahkan.

Kata beliau, pusat tahfiz tersebut masih lagi beroperasi dan semakan mendapati pengasas itu mempunyai rekod lampau atas kesalahan melakukan amang seksual fizikal dan liwat pada tahun 2019.

Ujar beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Seksyen 14(a) memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

“Di bawah Seksyen 31(1)(a) pula, pesalah yang disabitkan boleh didenda sehingga RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *