December 18, 2024

Anwar Ibrahim berkata bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad tidak perlu menegakkan benang yang basah berhubung isu pendedahan kekayaan dimiliki beliau dan keluarga.

Perdana menteri berkata, ramai mengetahui keluarga bekas Ahli Parlimen Langkawi itu memiliki aset sendiri seperti pesawat, kapal dan syarikat yang memberi keuntungan berbilion ringgit.


“(Keluarga Dr M) dah ada, pesawat, ada kapal, ada syarikat berbilion semua tahu. (Tak perlu) menegakkan benang basah,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Aidilfitri Malaysia Madani di Dataran Merdeka.


Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas cabaran Dr Mahathir apabila mahu beliau membuktikan kekayaannya dimilikinya semasa menjadi perdana menteri.

Ia menyusul selepas Anwar mengulangi gesaan dan cabarannya supaya Mahathir mendedahkan segala aset yang dimilikinya, selain anggota keluarganya.

Sebelum ini, Mahathir berpandangan beliau tidak perlu melayan permintaan itu atas alasan presiden PKR itu kononnya sudah memiliki ‘berkotak’ dokumen mengandungi maklumat berkenaan kekayaan beliau.

Mahathir juga menyifatkan cabaran Anwar terhadapnya serta pemimpin terdahulu sebagai ‘menghairankan’ berikutan perdana menteri kononnya sudah memiliki bukti mengenai kekayaan mereka, malah Anwar sendiri antara pemimpin lama yang pernah dituduh membantu kroni.

Dalam pada itu Anwar berkata, beliau tidak menghadapi masalah sekiranya diminta oleh Mahathir untuk beliau mendedahkan kekayaannya.

Anwar berkata, beliau antara individu yang telah mengisytiharkan harta dan tidak diam mengenainya.


“Saya tak ada masalah. Saya di antara orang isytihar harta dan tidak diam.

“Saya isytihar dahulu, saya isytihar RM11 juta rumah di Segambut,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata tidak dapat memastikan jumlah sebenar kerugian dalam tempoh 26 tahun disebabkan rasuah dan ketirisan yang berlaku dalam negara.

Beliau bagaimanapun akui jumlah kerugian mencecah puluh bilion ringgit.

“Jadi sebab itu saya jadikan ini sebagai suatu keputusan dasar yang sangat serius walaupun mendapat serangan atau percubaan kelompok kelompok terutama yang kaya, korup, harta berbilion bilion dalam dan luar negara… yang menyoroknya, itu mereka nampaknya kumpul kekuatan untuk lawan (dasar kerajaan),” katanya.

Khamis lalu, media melaporkan Malaysia dianggarkan berdepan dengan jumlah kerugian sebanyak RM4.5 trilion dalam tempoh 26 tahun disebabkan rasuah dan ketirisan, kata EMIR Research.


Badan pemikir berpangkalan di Kuala Lumpur itu turut menjelaskan anggaran kerugian yang dihadapi negara bermula dari Krisis Kewangan Asia pada 1997 sehingga tahun ini adalah secara konservatif dan jumlahnya berkemungkinan lebih besar.

Sementara itu, Anwar berkata telah memberi arahan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara (BNM) dan polis di bahagian Jabatan Siasatan Komersial untuk mengambil apa saja langkah mengikut jalur perundangan untuk bertindak.

Beliau berharap rakyat dan tidak kira parti dan kaum memberi sokongan terhadap tindakannya itu.

  • FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *