December 23, 2024

“Saya mahu pelaku itu diadili dan dengar penjelasannya secara berhadapan kenapa pukul saya.”

Itu harapan pelakon Kamal Adli selepas berhadapan dengan situasi cemas apabila dipukul dengan cota besi oleh individu tidak dikenali sehingga cedera teruk ketika sesi bertemu peminat di Expo Singapura pada 12 Mac lalu.

Kata Kamal atau nama sebenarnya, Ahmad Kamal Ahmad Adli, 37, dia mahukan jawapan sebenar mengenai tindakan individu terbabit.

“Sewaktu dipukul, saya ada bertanya sebab apa dan dia hanya senyap. Disebabkan itu, saya tidak berpuas hati dan polis tidak menjelaskan secara terperinci, cuma menjelaskan ia adalah isu peribadi sahaja.

“Saya hanya menunggu perbicaraan dan berharap dapat sesuatu yang ditunggu-tunggu.

“Saya mahu secara terperinci sebab apa pukul saya. Adakah memang dia mahu pukul saya atau ada orang hantar. Saya mahu tahu semua itu,” katanya kepada BH Online.

Kamal berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media program Astro, Mega Spontan 2023 di Vivatel Hotel, di sini, hari ini.

Kali pertama keluar berhadapan dengan media selepas menghabiskan masa kira-kira dua bulan berkurung di rumah sebagai langkah berhati-hati, Kamal menjelaskan, situasi berkenaan banyak merubah dirinya.


“Saya tidak pernah rasa trauma sebelum ini, tetapi bila kena baru tahu rasanya bagaimana. Saya jadi takut untuk keluar rumah dan tidak membuat apa-apa hantaran di media sosial.

“Rasanya sangat tidak seronok disebabkan saya lebih banyak berkurung di rumah. Saya mudah takut apabila berhadapan dengan orang ramai.

“Bagaimanapun, saya perlu tangani perkara sebab masih perlu bekerja dan menjadi diri sendiri seperti dahulu,” katanya.

Dalam masa sama, Kamal meluahkan rasa syukur apabila kecederaan yang dialami tidak begitu serius, malah sudah boleh kembali menjalani rutin harian seperti biasa.

“Saya bersyukur sebab kecederaan yang berlaku tidak teruk sebab nanti akan lebih susah. Sebagai langkah berjaga-jaga mungkin saya akan sentiasa berteman apabila keluar,” katanya.

Terdahulu, Kamal mengalami kecederaan di bahagian kepala, muka, bawah mata dan badan selepas diserang seorang lelaki berusia 34 tahun menggunakan cota besi.

Kamal kemudian dibawa ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan dan menjalani pembedahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *