December 18, 2024

Seorang individu mendakwa dirinya mangsa gangguan seksual membabitkan seorang pegawai kanan polis di Sabah, ingin tahu perkembangan siasatan kes pada 2018.

Walaupun kejadian itu berlaku lima tahun lalu, katanya, beliau tidak tahu siasatan dalaman yang menurut polis akan dijalankan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).


Pada Ogos 2018, Ketua Polis Negara ketika itu, Fuzi Harun dilaporkan berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap seorang ketua polis daerah di Sabah susulan dakwaan gangguan seksual ke atas enam anggota polis dan seorang anggota Jabatan Sukarelawan (Rela).


Menurut individu yang mendakwa dirinya mangsa beliau terkejut apabila mendapat tahu pegawai polis terbabit dinaikkan pangkat dan kini mengetuai jabatan polis di sebuah negeri.

“Dia (sebelum ini) ditukarkan ke jawatan pentadbiran (di jabatan lain), jadi polis akan menjalankan siasatan dalaman, tetapi apa berlaku kepada siasatan itu?” soalnya.

Beliau berkata, perkembangan terbaru itu seiring kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki berhubung 500 laporan salah laku difailkan terhadap pelbagai agensi kerajaan, termasuk 195 kes membabitkan polis, yang belum diambil tindakan.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail memberi jaminan polis akan bertindak balas terhadap laporan salah laku membabitkan pegawai mereka.

Pada Ogos 2018, Fuzi dilaporkan berkata “ada kebenaran di sebalik dakwaan itu” membabitkan seorang ketua polis daerah di Sabah melakukan gangguan seksual terhadap anggotanya.

“Kami akan ambil tindakan terhadap pegawai polis terbabit. Saya tidak boleh beritahu bila, tetapi ia akan dilakukan segera. Kami sedang meneliti perkara itu dengan serius,” katanya kepada The Star pada Ogos 2018.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *