December 18, 2024

Kisah seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang memandu kereta ayahnya sebelum terbabas melanggar tiang lampu pada malam Selasa lalu mungkin mengejutkan ramai pihak.

Namun, tidak bagi pelakon Diana Danielle.

Pemilik nama penuh Diana Danielle Danny Beeson itu dalam ciapannya di Twitter berkata ini kerana dia sendiri melakukan perkara yang sama ketika umurnya lima tahun.

Malah Diana berkata, mujur dia tidak mengalami sebarang kemalangan kerana kereta yang dipandunya itu jenis manual.

“Saya buat benda yang sama masa saya umur lima tahun dengan kereta datuk saya. “Tak ada kemalangan sebab kereta manual. Kereta berhenti sendirinya,” katanya di Twitter.

Semalam, tular video seorang kanak-kanak berusia enam tahun dikesan memandu kereta Toyota Vios milik keluarganya sehingga terbabit kemalangan di Jalan Bukit Tangga di Langkawi, Kedah.

Kanak-kanak terbabit dikatakan memandu sejauh 2.5 kilometer dari rumah bersama adiknya berusia tiga tahun untuk ke kedai, membeli mainan.

Video kemalangan terbabit mengejutkan orang ramai apabila mengetahui kenderaan terbabit dipandu kanak-kanak berkenaan tanpa pengetahuan ibu bapanya.

Kejadian yang berlaku di Jalan Bukit Tangga, Simpang Kenyum, berhampiran Kampung Titi Chanwang jam 11.15 malam itu turut disahkan Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *