December 18, 2024

Jika ada pertandingan selebriti paling bergaya setiap kali Syawal menjelma, pasti kemenangan berpihak kepada pelakon sensasi, Rozita Che Wan atau lebih mesra disapa Che Ta.

Setuju ataupun tidak, itulah hakikat yang harus diterima apabila bercakap mengenai figura cantik yang suka melaram dalam apa juga majlis yang dihadirinya.

Tak dinafikan, apa sahaja busana yang diperagakan pasti akan menjadi perhatian dan bualan netizen.

Meskipun agak keberatan memberitahu jumlah helaian persalinan dimilikinya tahun ini, Che Ta akhirnya mengalah juga selepas didesak.

“Ada antara baju raya saya tahun ini adalah koleksi dibuat tahun lalu. Ini disebabkan saya tidak sempat menggayakannya kerana sibuk di lokasi penggambaran.

“Keseluruhan baju raya dalam 17 pasang, tahun ini. Ada pelbagai warna dan kami anak beranak memang suka berbaju sedondon. Saya bersyukur kerana ada antara baju ini adalah pemberian pereka fesyen,” katanya kepada BH Online.

Diusik pertanyaan adakah banyak berhabis untuk menghias kediaman baharu bernilai hampir RM10 juta, Rozita pantas menafikannya.

“Segala kelengkapan dan perabot sudah dibeli awal sebelum berpindah lagi. Saya tidaklah berbelanja banyak untuk rumah. Lagi pun, kami beli secara sedikit demi sedikit,” ungkap Rozita.

“Selalunya kami sekeluarga raya di Kuala Lumpur. Kami pulang ke Alor Setar pada raya pertama. Saya sengaja pilih balik pada pagi raya pertama kerana tidak mahu menempuh kesesakan di lebuh raya.

“Tahun ini seronok sikit kerana adik-beradik saya balik kampung kecuali Ayu Raudhah yang sedang sarat ketika itu,” katanya yang banyak membeli biskut raya disebabkan kesuntukan masa untuk membuatnya.

Meskipun dari segi zahir, kelihatan Rozita dan suami, Zain Saidin dianggap sebagai ibu bapa moden, namun pelakon yang terkenal dengan imej bulu mata palsu ini masih kukuh nilai tradisional dalam dirinya.

Memperincikan perkara itu, pelakon yang popular dengan drama Kiah Pekasam ini memaklumkan, dia menerapkan budaya balik kampung pada tiga cahaya matanya.

“Kalau balik utara, mereka akan ikut sama. Anak-anak memang suka balik kampung terutama Aaisyah Dhia Rana kerana seronok dapat jumpa sepupu-sepupunya.

“Mana tidaknya, saya ada tujuh beradik dan bercampur keluarga serta pembantu, memang meriah rumah mak saya.

“Kalau dari sekarang tidak mengajar anak-anak balik kampung, jumpa saudara mara dan bersalaman, nanti tak nak beraya ikut isteri bila berumah tangga nanti.

“Saya tak mahu anak-anak saya bersikap sedemikian,” katanya yang pernah anjurkan rumah terbuka di kampung, namun rutin itu terpaksa dihentikan kerana keletihan melayan tetamu yang tidak henti-henti berkunjung.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *