October 17, 2024

Permulaan yang cukup baik bagi YAB Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 apabila beberapa pakar analisis politik memberi pandangan positif berhubung perubahan dan perlantikan Exco negeri.

Menurut pakar analisis politik, keputusan menjadikan Melaka sebagai ‘Kerajaan Negeri Madani’ adalah tepat dan selari dengan kedudukan UMNO-BN di kerajaan pusat.

Perlantikan barisan Exco yang berwibawa, terdiri daripada ADUN Barisan Nasional dan Pakatan Harapan yang mampu meyakinkan rakyat.

Felo Pengerusi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara, Mujibu Abdul Muis berkata langkah Rauf tersebut adalah tepat untuk mengelakkan sebarang prasangka negatif terhadap UMNO. Tindakan tersebut boleh meredakan suhu politik dalaman parti sebaik sahaja pemilihan UMNO berlangsung.

Mujibu bagaimanapun percaya Rauf yang juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka adalah pemimpin yang tepat dan sesuai untuk jawatan tersebut.

“Gaya kepimpinan Rauf mungkin sesuai untuk mengendalikan kerjasama BN-PH dan pembentukan kerajaan perpaduan di Melaka.

“Ini pasti idea yang diharapkan daripada perubahan kepimpinan.” Jelasnya lagi.

Seorang lagi penganalisis politik, Profesor James Chin, dari Institut Asia Universiti Tasmania berkata perubahan itu menunjukkan hasrat UMNO-BN untuk menyelaraskan pentadbiran kerajaan negeri dengan kerjasama BN-PH di peringkat persekutuan.

“Anda tidak boleh mempunyai situasi di mana Umno, melalui BN, bekerjasama dengan PH di peringkat persekutuan, tetapi PH kekal sebagai pembangkang dalam pentadbiran Melaka” tambahnya lagi.

Perubahan dalam kepimpinan Melaka bukan sahaja mencerminkan kerjasama politik antara BN dan PH di peringkat persekutuan, tetapi juga membantu mengukuhkan solidariti terhadap Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam parti. Pentingnya solidariti ini kerana masih wujud gerakan liar dari geng broker politik yang berhasrat membawa UMNO-BN melutut kepada musuh.

Seorang lagi penganalisis politik, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, bersetuju dengan pandangan Mujibu apabila beliau berkata,
“Orang ini mesti tegas dan cepat membuat keputusan. Mungkin ketua menteri baharu mempunyai sifat-sifat itu.

“Tambahan pula, Rauf mempunyai perwatakan yang mengagumkan, yang berguna kepada Melaka dan kerajaan perpaduan negeri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *