December 19, 2024

TANPA berselindung dan dengan penuh yakin, Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berjanji kepada rakyat Kelantan bahawa jika UMNO-BN diberi mandat memerintah pada pilihanraya negeri tidak lama lagi maka masalah air yang dihadapi oleh rakyat Kelantan selama lebih 30 tahun akan diselesaikan.

Kenyataan tulus dan berani dari Timbalan Perdana Menteri ini mendapat reaksi kurang senang dari Ketua Pemuda PAS Malaysia. Bagaikan sebuah tampara hinggap ke muka.

Ahmad Fadhli Shaari yang juga ahli parlimen Pasir Mas terpaksa membuat lontaran sinis “Ada pemimpin parti politik berjanji menyelesaikan masalah air di Kelantan walaupun perdana menteri dan menteri alam sekitar dan air bukan daripada partinya”.

Ketua Pemuda PAS ini memang terkenal dengan membuat kenyataan membabi buta asalkan boleh dipandang cerdik walaupun setiap kali beliau membuka mulutnya maka terserlah ketidak cerdikannya berfikir.

Beliau terkenal dengan keceluparan apabila membuat kenyataan termasuk yang paling tular dan memalukannya sendiri adalah bertindak meremehkan cadangan Najib Razak tentang cadangan pengeluaran KWSP buat pertama kalinya. Beliau menyelar Najib dengan memberi analogi betapa mustahil cadangan Najib untuk dilaksanakan umpama syarat peminangan Puteri Gunung Ledang. Kini beliau pula bersungguh-sungguh cuba menonjolkan diri sebagai “pejuang” rakyat melalui isu KWSP.

Bagaikan seperti bukan seorang ahli parlimen apabila cuba mengelirukan rakyat tentang peranan dan tanggungjawab seorang anggota kepimpinan tertinggi sesebuah kerajaan yang memerintah.

Persoalannya;

Adakah jawatan Timbalan Perdana Menteri itu hanya untuk menjaga ahli UMNO? Jika mengikut pemahaman Ahmad Fadhli, menteri kabinet akan berkhidmat dengan portfolio masing-masing mengikut alur politiknya sahaja? Jika Tengku Zafrul adalah menteri ekonomi maka ruang lingkup ekonomi ahli UMNO sahaja yang beliau fokuskan?

Anwar Ibrahim adalah PM untuk semua rakyat atau untuk ahli Pakatan Harapan sahaja?

Kerajaan Perpaduan hari ini untuk seluruh rakyat atau untuk menjaga kebajikan siapa?

Ketika Tuan Ibrahim Tuan Man, ahli parlimen PAS menjadi menteri di zaman Muhyiddin dan Ismail Sabri, kenapa beliau tidak membantu selesaikan masalah bekalan air yang kotor di Kelantan dan masalah banjir di negeri tersebut? Adakah kerana Muhyiddin dan Ismail Sabri bukan Perdana Menteri dari PAS?

Tambah memalukan apabila sekarang ini hampir setiap hari ahli parlimen PAS dan PPBM meminta agar peruntukan kewangan yang samarata diberikan kepada mereka.

Untuk apa peruntukan kewangan tersebut jika Perdana Menteri dan menteri kewangan adalah bukannya dari PAS?

Hakikatnya janji Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di atas kapasitinya sebagai Timbalan Perdana Menteri membuatkan kepimpinan PAS Kelantan mula gelabah.

Ini adalah janji pertama dari Kerajaan Perpaduan kepada rakyat Kelantan sekiranya di beri mandat memerintah Kelantan.

Isu air kotor dan bekalan yang sentiasa terputus ini bukan isu baharu. Lebih malang, kejadian tiada air untuk memandikan jenazah tidak mendapat perhatian dari Kerajaan PAS Kelantan.

Negeri yang berkat bukannya berselindung di sebalik slogan kerajaan Islamik sedangkan hendak berwuduk dengan air bersih pun masih terkial-kial untuk selesaikan.

Kerajaan Perpaduan melalui UMNO-BN sudah bersedia untuk membawa kemakmuran kepada negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah pada pilihanraya negeri kali ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *