December 19, 2024

UMNO dijadikan sasaran tanpa henti baik dari musuh politik mahu pun dari kalangan ahli parlimennya sendiri.

“Pemilihan jawatan Presiden dan Timbalan” dijadikan isu sehinggakan parti PAS menjadikan isu tersebut sebagai modal untuk menekan UMNO di parlimen melalui sesi soal-jawab kepada Menteri Dalam Negeri.

Takiyuddin dari PAS meminta penjelasan dari Menteri kononnya untuk dijadikan “precedent” bagi rujukan semua parti politik yang ada di negara ini.

Amat dangkal bunyi Takiyuddin apabila seolah baru semalam beliau mengikuti sejarah parti paling lama, paling berstruktur organisasinya dan paling ramai ahli serta perwakilan di perhimpunan agung pada setiap tahun. Bukan di zaman Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi usul tiada pertandingan bagi jawatan utama ini. Di zaman Mahathir menjadi Presiden UMNO juga pernah diusulkan dan dipersetujui oleh perwakilan yang hadir. Bukankah dari segi asas logiknya, itu juga sebagai “precedent”? Kenapa waktu itu PAS tidak memekak?

Jawabnya mudah, kerana PAS, PPBM dan geng proksi Muhyiddin serta geng broker ketika ini sedang dihambat oleh dosa jenayah rasuah mega yang mereka sedang hadapi di mahkamah.

Hanya satu jalan sahaja boleh hentikan pendakwaan yang sedang berlangsung dan beberapa pemimpin besar mereka bakal diheret ke mahkamah ialah “Coup d’état”, iaitu rampasan kuasa melalui apa cara sekali pun.

Hadi Awang menggunakan cara perang saraf dengan mewar-warkan kononnya “halal” melanggari titah Yang di Pertuan Agong berhubung pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Takiyuddin, setiausaha agung Pas yang berlatar belakang undang-undang menyerang UMNO melalui kononnya surat dari RoS seolah-olah keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2022 yang meluluskan usul tambahan tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden sebagai diragui dan tidak sah.

Ismail Sabri juga nampak semakin kemaruk menyerang Presiden UMNO sendiri dengan berkelakuan seperti anak kecil meminta Presiden UMNO menunjukkan bukti RoS bersetuju dengan usul tambahan UMNO. Ismail Sabri adalah pencetus serangan melalui isu RoS.

Khairy Jamuluddin yang dipecat dari UMNO kerana perbuatannya mensabotaj parti ketika pilihanraya umum ke-15 juga menyusul dengan serangan terhadap Presiden dan Timbalan Presiden juga menggunakan isu RoS. Termasuk beliau terjerat dengan surat palsu yang kononnya dari RoS.

Hishammuddin yang terkenal pengecut cuba menggunakan saluran sidang parlimen dan beliau juga menggunakan isu RoS. Ahli parlimen sedang membahaskan bajet 2023, Hishammuddin cuba membuktikan kesetiaan beliau sebagai budak suruhan Muhyiddin dengan membawa isu RoS vs UMNO?

Ahli-ahli parlimen PN yang lain hanya menjadi tukang salak supaya nampak isu RoS vs UMNO ini besar tetapi hakikat dan kemuncaknya pagi ini Muhyiddin diarah kali kedua ke SPRM sebagai suspek kes rompakan wang rakyat melalui pakej rangsangan ekonomi – Janawibawa yang melibatkan jumlahnya ratusan juta ringgit dan mungkin mencapai angka bilion ringgit telah dirompak.

Ketika artikel ini ditulis, segelintir penyokong Muhyiddin sedang berkumpul di depan ibupejabat SPRM di Putrajaya.

Adalah Ismail Sabri, KJ dan Hishammuddin serta Hadi dan Takiyuddin bakal menjadi suspek juga?

Semakin menarik kes rasuah mega ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *