December 18, 2024

JANGAN menuding jari jika gagal mengurus persepsi

Ada pemimpin UMNO nampaknya tidak memahami apa sebenarnya persepsi dan bagaimana menguruskannya.

Menyebut perkataan tersebut memang sedap dan kelihatan bijak terutama apabila ditemubual di khalayak tetapi malangnya gagal memberi tafsiran yang tepat tentang bagaimana perlu seorang pemimpin itu perlu bertindak.

Tambah parah apabila pemimpin tersebut hanya tahu menuding jari menyalahkan orang lain akibat termakan juga dengan permainan persepsi dari pihak musuh.

Perang persepsi bukannya “siapa cepat dia dapat” tetapi siapa yang lebih kreatif mencipta isu walaupun isu tersebut hanyalah bersifat rekaan semata-mata dan ada juga isu yang separuh benar.

Kejayaan persepsi tersebar dengan pantas dan luas atau “tular” bergantung sejauh mana isu tersebut disambut oleh orang ramai. Lebih berkesan apabila kumpulan sendiri yang memainkan peranan utama sebagai dalang atau menjadi Kuda Trojan, gunting dalam lipatan atau musang berbulu ayam.

Segelintir pemimpin UMNO sendiri tidak memahami bahawa persepsi yang dibina adalah bertujuan memburukkan parti dan juga pemimpin nombor satu parti sendiri.

Untuk merosakkan parti maka rosakkanlah imej presiden parti dengan apa cara sekali pun termasuk melakukan pembunuhan karektor dengan tuduhan jenayah yang sengaja direkayasa.

Air menitik dengan jumlah molekul yang amat kecil kekuatannya namun mampu membuat batu yang keras menjadi lekuk kerana tindakan air tersebut berlaku secara konsisten. Begitulah juga dengan proses persepsi jahat dibina untuk merosakkan nama baik parti atau pemimpin parti. Samada cepat atau lambat kesannya tetap akan berlaku.

Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga tidak terkecuali. Apabila zaman ini terkenal dengan “siapa ke mahkamah maka individu tersebut adalah orang yang tidak baik”.

Ketika mangsa persepsi sedang berulang alik ke mahkamah untuk membuktikan diri tidak bersalah, pihak musuh sudah berpuashati bahawa kerjanya sudah hampir selesai dan imej yang kena tuduh sudah rosak sepenuhnya.

Di waktu yang sama, ada pula individu atau segelintir kumpulan dari UMNO yang bercita-cita besar untuk merampas kuasa dengan cara mudah memainkan peranan menghasut ahli yang lain dengan menggunakan persepsi dari pihak musuh maka dari bara menjadi api yang menyala.

Untuk kalahkan yang Haq maka kebathilan dirancang dengan begitu sempurna.

Nabi saw sendiri hampir kalah dengan persepsi yang dicipta oleh musuhnya di dalam kisah isterinya Saidatina Aisyah dan kisah Nabi saw berhutang dengan Yahudi. Allah swt turunkan rahmat dan merungkai persepsi jahat ini apabila sahabat Nabi saw semuanya bersolidariti dan yakin bahawa Nabi saw adalah benar.

Bagaimana UMNO ingin selamatkan nama baik parti dan terhindar dari mainan persepsi jahat musuh politiknya? Semua pemimpin perlu bersolidariti dan bukannya menjadi manusia hipokrit.

Zahid adalah mangsa kepada mainan persepsi dari musuh politik UMNO dan kini isu yang sama digunakan oleh geng yang ingin melihat UMNO menyembah di kaki Muhyiddin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *