December 18, 2024

SEJARAH perjalanan politik DS Zahid adalah sebuah perjuangan. Tidak ada satu pun jawatan yang galasnya datang bergolek dan terhidang dengan mudah.

DS Zahid memimpin Pemuda UMNO Malaysia dengan melalui pertandingan dan lawannya adalah Ketua Menteri dan juga menteri sedangkan DS Zahid tidak menjawat apa-apa jawatan di peringkat persekutuan atau negeri.

Kedudukannya sebagai Presiden sehingga ke hari ini juga adalah melalui proses demokrasi parti. Pertandingan tiga penjuru antara beliau, Ku Li dan Khairy Jamaluddin yang mana beliau menang dengan jumlah majoriti yang besar dan selesa untuk memimpin sebuah parti politik yang terbesar di negara ini.

Kini penggal bagi keseluruhan jawatan di semua peringkat sudah hampir tamat sesuai dengan perlembagaan parti. Walaupun ada suara dari peringkat kepimpinan bahagian, akar umbi dan negeri yang mencadangkan tiada pemilihan untuk jawatan Presiden dan Timbalan berdasarkan keputusan pilihanraya umum ke-15 agar tiada berlaku keretakan ketara namun DS Zahid menyerahkan kepada kebijaksanaan peringkat kepimpinan tertinggi.

UMNO adalah sebuah parti yang berstruktur dan demokrasi. Jelas DS Zahid “kita harus bawa ke biro politik, bawa ke Majlis Kerja Tertinggi (MKT) selepas itu usul MKT itu harus dibawa ke perhimpunan agung, biar perwakilan yang menentukan dalam perhimpunan agung”.

Itulah ketertiban yang ada pada UMNO dan BN. Tiada unsur menekan ahli untuk bersetuju kerana semua ada hak samarata untuk bersuara.

Kenyataan DS Zahid ini sekali gus menafikan tuduhan liar dari geng broker politik yang mempunyai tuan. Hasrat geng broker bukannya untuk memberi laluan kepada tuan mereka bertanding tetapi lebih menjurus kepada memecahbelahkan UMNO dan BN.

Kerja mereka supaya tuan yang memberi dedak mendapat kuasa dengan senang dan terhidang malah disuap ke mulut. Bertanding takut, tuan mereka lebih berani baling batu sembunyi tangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *