December 18, 2024

SAMAR: Hampir sebulan parti dari kumpulan pembangkang yang di ketuai oleh PPBM tidak menunjukkan tanda-tanda mereka sebagai pembangkang yang berwibawa. Tidak ada satu pun cadangan balas atau pemikiran alternatif sebagai bandingan kepada yang dilaksanakan oleh kerajaan.

PPBM adalah parti pimpinan Muhyiddin dan bekerjasama dengan PAS dan GERAKAN untuk membentuk Perikatan Nasional(PN). Individu yang dilantik sebagai ketua pembangkang di parlimen adalah Hamzah Zainuddin. Sehingga ke hari ini fokus PN adalah mengkritik apa sahaja yang dibuat oleh Kerajaan Perpaduan. Malah masih memusatkan serangan menyalahkan Anwar kerana melantik Zahid Hamidi sebagai Timbalan Presiden. Makin memburukkan imej mereka sendiri adalah PN turut sama menyerang Zahid supaya meletakkan jawatan Presiden UMNO dan Pengerusi BN selain terus menerus memperlekehkan Zahid kenapa memilih Pakatan Harapan dan tidak PN sebagai rakan kerjasama strategik bagi menubuhkan kerajaan tempohari.

Sememangnya adalah hak PN untuk mengkritik tetapi kritikan tanpa usul periksa akan memakan diri sendiri. Kadar inflasi misalnya, mula naik ketika kerajaan pimpinan Muhyiddin jadi dan terus menaik apabila Ismail menjadi PM dan pada ketika menteri-menteri ekonomi, MITI, kewangan dan pertanian adalah dari PPBM.

Begitu juga isu harga ayam dan stok telor, serangan membabi buta pemimpin PN umpama meludah ke langit apabila kenaikan harga ayam dan telur serta kekurangan bekalan sebenarnya bermula pada awal tahun 2021 iaitu ketika mereka mentadbir dan berpanjangan sehingga sekarang. Justeru kenapa tidak dilaksanakan idea-idea yang mereka lontarkan sekarang sedangkan mereka berada di dalam kerajaan pada jangkawaktu yang agak lama dan dua tahun tersebut sudah cukup untuk melaksanakan buah fikiran itu.

Rakyat ingin tahu kemana perginya bajet RM92 bilion yang dikatakan oleh Muhyiddin (sebahagian dari pakej rangsangan RM600b). Siapa yang mendapat manfaat dari belanjawan wang rakyat yang dikeluarkan ketika darurat? Benarkah dakwaan Anwar bahawa ada dari ahli keluarga kerajaan terdahulu menikmati lebih dari rakyat?

Menjadi pembangkang bukan bermakna siang dan malam menidakkan rancangan dan perlaksanaan dari kerajaan tetapi membuka ruang supaya rakyat boleh menilai idea yang terbaik dan bolehguna pakai untuk memakmurkan dan menstabilkan rakyat dan negara.

Setakat hari ini, tidak ada satu pun idea dari pembangkang yang boleh dibanggakan kerana semuanya asyik bernostalgia dan mengenang nasib diri kenapa tidak dapat jadi kerajaan.

UMNO dan BN telah nyatakan hasrat bersetuju sekiranya PN turut serta di dalam kerajaan perpaduan dengan syarat bukan Muhyiddin yang menjadi PM10. Kenapa? Jawapnya mudah, 17 bulan Muhyiddin gagal sebagai PM8 maka tidak perlulah lagi meletakkan rakyat sebagai bahan cagaran.

Anwar sendiri juga menawarkan PN sebagai rakan bersama menubuhkan kerajaan perpaduan dan Muhyiddin menolak dengan egonya. Orang yang gagal terlalu bahaya dibenarkan menjadi PM kerana umpama tikus membaiki labu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *